Ahad, 10 March 2024 | 1:15pm
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris. Foto fail BERNAMA
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris. Foto fail BERNAMA

Muhyiddin serah pindaan perlembagaan parti kepada RoS esok

KUALA TERENGGANU: Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menyerahkan pindaan perlembagaan parti ke ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), esok.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris, berkata bekas Perdana Menteri itu akan menyerahkan pindaan perlembagaan parti yang diluluskan sebulat suara pada Mesyuarat Agung Khas, pada 2 Mac lalu.

"Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bersetuju menyerahkan mandat kepada Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh untuk menyerahkan dokumen pindaan perkara 10 perlembagaan parti kepada RoS.

"Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa pemimpin kanan parti akan mengiringi Muhyiddin untuk menyerahkan dokumen, kira-kira jam 10 pagi esok," katanya kepada media, ketika ditemui di pejabatnya, hari ini.

Pada Mesyuarat Agung Khas BERSATU pada 2 Mac lalu, perwakilan parti itu sebulat suara menyokong usul untuk meminda Perkara 10 Perlembagaan partinya.

Pindaan perlembagaan itu dilakukan bagi menghalang wakil rakyat parti itu berpaling tadah pada masa hadapan.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Zulkafperi Hanapi; Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman.

Mengulas kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memberi jaminan tidak akan ada campur tangan politik dalam soal permohonan parti itu untuk meminda perlembagaan parti, Razali berkata, BERSATU hanya mengingatkan agar tiada 'tangan ghaib' mencampuri urusan itu.

Katanya, peringatan itu disuarakan berdasarkan pengalaman lalu apabila ada campur tangan politik dalam sebarang keputusan akan dibuat RoS.

Berita Harian X