Ahad, 10 March 2024 | 10:23am

5 juta pelajar mula sesi persekolahan baharu hari ini dan esok

JOHOR BAHRU: Lebih 5 juta pelajar seluruh negara akan memulakan sesi persekolahan 2024/2025 bermula hari ini dan esok.

Ketua Pengarah Pendidikan, Adnan Azman, berkata jumlah itu membabitkan murid dan pelajar prasekolah hingga Tingkatan Lima, seluruh negara.

Katanya, ia termasuk lebih 1.44 juta pelajar memulakan sesi persekolahan 2024/2025 di negeri Kumpulan A membabitkan Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan, hari ini.

"Buat tahun keduanya, Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan sesi baharu minggu pertama tanpa pembelajaran akademik, terutama bagi membiasakan murid Tahun Satu dan Tingkatan Satu dengan persekitaran baharu mereka.

"Minggu pertama sesi baharu persekolahan akan diisi dengan pelbagai program yang sesuai.

"KPM mahukan murid dan pelajar hadir ke sekolah dalam situasi seronok, dapat serap dengan cepat semua ekosistem dan budaya yang ada di sekolah sekali gus dapat berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan," katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

Di Johor, seramai 602,619 pelajar sekolah rendah dan menengah memulakan sesi persekolahan 2024/2025, hari ini.

Sesi sekolah negeri Kumpulan A hari ini lancar

Dalam pada itu, Azman berkata, pembukaan sesi persekolahan baharu 2024/2024 di negeri Kategori A membabitkan Johor, Kedah, Terengganu dan Kelantan, berjalan lancar, pagi ini.

Katanya, ia berikutan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta sekolah sudah melakukan persiapan rapi bagi menerima pelajar bagi sesi persekolahan baharu.

Di TERENGGANU, Pengarah Pendidikan negeri, Jelani Sulong berkata seramai 234,789 pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima memulakan sesi persekolahan 2024/2025 hari ini di 506 sekolah di negeri itu.

"Jumlah tersebut merangkumi 134,380 murid sekolah rendah dan 100,409 pelajar sekolah menengah," katanya ketika ditemui pemberita di SMK Serada, di Kuala Terengganu.

Di KELANTAN, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Mohd Zamri Abdul Aziz berkata seramai 251,185 pelajar memulakan sesi persekolahan di negeri itu bagi sesi persekolahan 2024/2025.

"Sesi persekolahan kali ini dibuka ketika cuaca panas serta kering berpanjangan yang sedang melanda negara. Oleh itu, kami minta semua pihak berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga," katanya selepas meninjau di Sekolah Kebangsaan Ismail Petra 1, Kota Bharu.

Sementara itu, di KEDAH, Pengarah Pendidikan negeri Ismail Othman berkata seramai 200,793 murid di 548 sekolah rendah dan 153,918 pelajar di 204 sekolah menengah memulakan sesi akademik hari ini.

"Terdapat seramai 31,110 murid memasuki tahun satu dan 31,090 murid memasuki tingkatan satu dan setakat ini semua sesi persekolahan di Kedah berjalan lancar," katanya selepas meninjau sesi pembukaan persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Bahiyah, di Alor Setar.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bersama EXCO Johor, Aznan Tamin meninjau kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bersama EXCO Johor, Aznan Tamin meninjau kelas Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X