Ahad, 10 March 2024 | 9:29am

Sesi persekolahan kembali ke Januari 2026: Kurikulum tak terjejas

JOHOR BAHRU: Kurikulum sekolah dijangka tidak terjejas susulan langkah Kementerian Pendidikan (KPM) mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari pada 2026.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata kurikulum sedia akan dilaksanakan seperti biasa dengan jumlah persekolahan 190 hari setahun, dikekalkan.

Oleh itu, katanya, ibu bapa dan guru tidak perlu bimbang terhadap dakwaan kononnya pelajar serta proses pengajaran dan pembelajaran akan terjejas berikutan langkah berkenaan.

"Kementerian beri jaminan kurikulum persekolahan tidak akan terjejas dan akan dilaksanakan seperti biasa. Jumlah hari persekolahan akan kekal, cuma ada perubahan sedikit tempoh cuti penggal yang akan dipendekkan.

"Kita akan ambil kira pandangan dan keselesaan bukan sahaja murid serta pelajar, malah guru-guru dan ibu bapa terhadap langkah mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari, dua tahun lalu," katanya selepas meninjau hari pertama persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail (SSI), hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.

Tahun lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan memutuskan untuk mengembalikan semula sesi baharu persekolahan kepada Januari pada 2026, berbanding bermula Mac yang dilaksanakan sejak 2022, susulan pandemik COVID-19.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.

Katanya, pertimbangan itu diambil selepas kementerian menerima banyak pandangan, terutama daripada ibu bapa mengenai kepentingan mengembalikan sesi persekolahan kepada Januari.

Fadhlina juga memaklumkan, KPM perlu mengambil kira pelbagai faktor dan pada masa sama perlu mematuhi ketetapan jumlah hari persekolahan murid tidak boleh kurang daripada 190 hari dalam tempoh setahun.

Sesi 2024/2025 menyaksikan 1.44 juta murid memulakan persekolahan, hari ini di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu, manakala negeri lain esok.

Terdapat lima juta pelajar seluruh negara mengikuti aliran persekolahan kerajaan daripada prasekolah sehingga Tingkatan Lima.

Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin beramah mesra bersama murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin beramah mesra bersama murid darjah satu di Sekolah Kebangsaan (P) Sultan Ibrahim Johor. NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Berita Harian X