Sabtu, 9 March 2024 | 7:00pm
Nasi lemak mendapat tempat di persada antarabangsa apabila tercalon dalam senarai calon pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia pada tahun ini. - Foto hiasan
Nasi lemak mendapat tempat di persada antarabangsa apabila tercalon dalam senarai calon pengiktirafan UNESCO sebagai Warisan Dunia pada tahun ini. - Foto hiasan

Nasi lemak tercalon sebagai makanan warisan dunia

KUALA LUMPUR: Nasi lemak mendapat tempat di persada antarabangsa apabila tercalon dalam senarai calon pengiktirafan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Warisan Dunia, pada tahun ini.

Antara warisan tempatan lain yang tersenarai sebagai calon layak diiktiraf Warisan Dunia, termasuk Gua Taman Negara Niah di Sarawak dan Kebaya Malaysia.

Dengan kejayaan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan tahun ini adalah tahun yang cukup bermakna bagi negara dan bakal dianggap sebagai 'Tahun Warisan'.

Beliau berkata, berikutan penyenaraian itu, tahun 2024 akan dianggap sebagai Tahun Warisan yang mempunyai kepentingan besar bagi negara.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (tengah) menyampaikan anugerah penghargaan kepada Ahmad Zaini pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024 di Bandar Sunway, malam tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing (tengah) menyampaikan anugerah penghargaan kepada Ahmad Zaini pada Majlis Penghargaan Media dan Malam Warisan MOTAC 2024 di Bandar Sunway, malam tadi. - Foto NSTP/Aswadi Alias

"Antaranya (warisan tersenarai) ialah Warisan Arkeologi Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak dinamakan sebagai calon yang layak mendapat pengiktirafan Warisan Dunia.

"Bagi Kebaya Malaysia yang diaplikasikan bersama negara jiran Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand juga dicalonkan sebagai calon Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO, mewakili budaya kemanusiaan.

"Pencalonan Budaya Sarapan Pagi Malaysia, termasuk nasi lemak juga satu usaha kementerian untuk memastikan hidangan tradisional rakyat diiktiraf sebagai Makanan Warisan Kebangsaan Malaysia dan tidak akan dituntut oleh negara lain," katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Media MOTAC 2024 yang diadakan di Hotel Sunway Resort, Petaling Jaya, semalam.

Majlis penghargaan itu disertai lebih 10 kumpulan media tempatan termasuk Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan New Straits Times Press (NSTP).

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan dan Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Datuk Ahmad Zaini mewakili MPB menerima cenderahati penghargaan daripada MOTAC atas sumbangan media kepada usaha kementerian mempromosikan pelancongan negara.

Dalam pada itu, King Sing menyatakan harapan untuk mencapai lebih banyak pencapaian melalui pelbagai program dan inisiatif yang akan dijalankan pada tahun ini dengan bantuan agensi media.

"Ini termasuk Tahun Melawat Melaka 2024, Forum Pelancongan Asean 2025, Hari Pelancongan Sedunia, Persidangan Pelancongan Sedunia 2025, dan paling penting, Melawat Malaysia 2026.

"Saya berharap media akan terus menjadi rakan strategik kami dalam mempromosikan dan meningkatkan program pelancongan dan kebudayaan, serta memartabatkan industri pelancongan Malaysia ke peringkat global.

"Kerjasama erat anda adalah penting, terutama dalam memacu kempen Melawat Malaysia 2026 akan datang.

"Dengan bantuan dan sokongan daripada pihak media, kami percaya bersama-sama dapat mencapai matlamat lebih besar dalam mempamerkan keindahan dan keunikan destinasi pelancongan negara kita kepada dunia," katanya.

Berita Harian X