Sabtu, 9 March 2024 | 6:49pm
Dr Dzulkefly Ahmad (lima kanan) meninjau aktiviti warga emas yang melakukan latihan senaman pada Majlis Perasmian Hab Kesihatan Terengganu di Klinik Kesihatan Seberang Takir. Turut bersama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (tiga, kiri). - Foto GHAZALI KORI
Dr Dzulkefly Ahmad (lima kanan) meninjau aktiviti warga emas yang melakukan latihan senaman pada Majlis Perasmian Hab Kesihatan Terengganu di Klinik Kesihatan Seberang Takir. Turut bersama, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan (tiga, kiri). - Foto GHAZALI KORI

Pemilik premis makanan juga bertanggungjawab larang pelanggan merokok - Dr Dzulkefly

KUALA NERUS: Peniaga premis makanan bertanggungjawab mempamerkan lebih banyak tanda larangan merokok dan tidak menyediakan bekas abu rokok seperti dalam Peraturan 12(1)(a) dan 12(1)(b) di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya juga meneruskan perkara sama di bawah akta baharu iaitu Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) bagi memastikan masyarakat kekal patuh untuk tidak merokok di tempat larangan merokok.

Katanya, berdasarkan libat urus yang diadakan sebelum ini, terdapat permohonan daripada peniaga yang meminta mereka tidak dikenakan kompaun jika ada pelanggan merokok di premis.

"Yang penting bagi kami (Kementerian Kesihatan) adalah tanda-tanda larangan merokok dipamerkan di tempat-tempat yang sewajarnya dan tidak menyediakan tempat abu rokok.

"Ini bermaksud mereka tidak menggalakkan orang merokok dan kita tahu peniaga ini tentunya mereka mengingatkan jika ada pelanggan merokok," katanya ditemui selepas Majlis Perasmian Wellness Hub Terengganu di perkarangan Klinik Kesihatan Seberang Takir di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, Kementerian Kesihatan mempunyai tatacara tertentu sebelum tindakan mengeluarkan notis kesalahan kepada pemilik premis ketika penguatkuasaan dilaksanakan.

Katanya, premis akan diperiksa sama ada mereka menyediakan kelengkapan untuk merokok atau bekas abu rokok serta membiarkan perokok merokok secara berleluasa yang menunjukkan pemilik gagal memastikan premis mereka bebas daripada aktiviti merokok.

Berita Harian X