Sabtu, 9 March 2024 | 4:46pm

Muhyiddin 'pakar lompat', tak layak cabar kosongkan kerusi - PM

BUKIT MERTAJAM: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disifatkannya 'pakar lompat' tidak layak mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) milik wakil BERSATU yang menyokong kerajaan.

Perdana Menteri berkata keputusan sama ada pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN berkenaan sepatutnya dibuat individu yang mewakili semua kerusi berkenaan.

Beliau berkata Muhyiddin selaku Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak boleh membuat sebarang keputusan mengenainya termasuk mencabar Kerajaan Perpaduan yang mendapat sokongan wakil rakyat terbabit.

"Kepala parti lompat hendak cadang (pengosongan enam kerusi Parlimen dan satu DUN), terpulang kepada Ahli Parlimen itu, kenapa tanya saya?

"Dia (Muhyiddin) yang pakar pergi lompat dan 'scheme of things', itu dia patut jawab mengapa orang sudah hilang keyakinan kepada BERSATU," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ditemui pada Majlis Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Masyarakat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Terdahulu Muhyiddin dalam kenyataannya, mencabar Kerajaan Perpaduan mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kosong selepas wakil rakyat BERSATU menyokong Kerajaan Perpaduan .

Ia berikutan Ahli Parlimen dan ADUN daripada BERSATU di kerusi terbabit beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN terbabit pula adalah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.

Berita Harian X