Sabtu, 9 March 2024 | 4:03pm
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - FAIL NSTP
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin. - FAIL NSTP

PAC ada cara kendali prosiding berkaitan LTAT'

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menjelaskan tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) akan hanya dipanggil selepas Aidilfitri kerana jawatankuasa itu mempunyai komitmen lain yang dipersetujui lebih awal.

Tiga yang dinamakan adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Dayana Rogayah Omar.

Pengerusi PAC. Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata proses itu akan berjalan seperti dirancang dan PAC tidak mahu mencampuri urusan kerajaan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu laporan penuh dalam tempoh dua minggu berhubung prestasi LTAT.

"Kita memanggil wakil LTAT selepas Aidilfitri kerana jadual PAC agak padat dengan laporan yang perlu disiarkan, prosiding dan mesyuarat.

"Kita sudah memutuskan terlebih awal komitmen berkenaan dan turut menghargai pasukan jawatankuasa PAC yang sangat komited," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PAC akan mempercepatkan proses bagi memanggil wakil LTAT bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.

Ia susulan Perdana Menteri mengarahkan LTAT dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) mengemukakan laporan penuh berhubung prestasi mereka dalam LKAN 2022.

Pada masa sama, Mas Ermieyati berkata, PAC mempunyai cara tersendiri menjalankan prosiding mesyuarat laporan yang akan dibentang di Parlimen kelak.

Beliau berkata, pihaknya tidak mahu perkara itu mempengaruhi tindakan yang dibincang PAC sebelum ini.

"Kenyataan Perdana Menteri supaya laporan disiapkan dalam tempoh dua minggu itu adalah arahan badan eksekutif.

"Kita tidak mahu mencampuri urusan diputuskan Perdana Menteri dan Kabinet," katanya.

Ditanya sama ada PAC akan turut menyiasat berhubung FELDA, Mas Ermieyati berkata, hanya tumpuan hanya kepada LTAT buat masa ini.

"Jun atau Julai nanti LKAN ada bentangkan lagi maka tugas PAC berterusan dan kita harus membuat keputusan dan memilih siapa yang perlu dipanggil.

"Ia dilakukan secara konsensus oleh semua ahli jawatankuasa," katanya.

Berita Harian X