Sabtu, 9 March 2024 | 3:23pm
Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan), menerima pengiktirafan berprestij Darjah Utama Bakti Cemerlang daripada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura. - Foto SPF
Mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani (kanan), menerima pengiktirafan berprestij Darjah Utama Bakti Cemerlang daripada Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam di Istana Singapura. - Foto SPF

Bekas Ketua Polis Negara terima anugerah Singapura

SINGAPURA: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dianugerahkan Darjah Utama Bakti Cemerlang oleh Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, di sini pada Khamis.

Acryl Sani yang juga pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), menerima penghargaan itu sebagai mengiktiraf peranannya dalam mengukuhkan hubungan dua hala yang rapat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pasukan Polis Singapura (SPF).

SPF berkata kepimpinan beliau dalam PDRM telah meningkatkan keselamatan kedua-dua negara dengan menentang ancaman pengganasan, dadah dan jenayah rentas sempadan.

"Di bawah kepimpinan beliau, kerjasama antara PDRM dengan SPF diperkukuh dengan ketara.

"Kedua-dua pasukan meningkatkan kerjasama terutamanya dalam bidang siasatan, pertukaran maklumat dan perisikan, serta pembangunan keupayaan," katanya dalam catatan Facebook, pada Sabtu.

Pesuruhjaya Polis Singapura, Hoong Wee Teck, berkata: "Kami akan terus bekerja rapat dengan Polis Diraja Malaysia untuk memerangi jenayah rentas sempadan dan menangani cabaran keselamatan baru".

Semasa di sini, Acryl Sani turut membuat kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Lee Hsien Loong dan Wee Teck. - BERNAMA

Berita Harian X