Sabtu, 9 March 2024 | 2:38pm
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (depan dua, kanan) bersalaman dengan guru-guru ketika melakukan lawatan kerja dan Majlis Perasmian Peneraju Transformasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, hari ini. - BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali (depan dua, kanan) bersalaman dengan guru-guru ketika melakukan lawatan kerja dan Majlis Perasmian Peneraju Transformasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, hari ini. - BERNAMA

Peraturan Pegawai Awam memadai teliti isu salah laku - KSN

KUALA TERENGGANU: Semua kes berkaitan salah laku membabitkan penjawat awam memadai dirujuk kepada Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata cadangan penubuhan Tribunal Penjawat Awam tidak perlu dilaksanakan kerana ia pernah ditubuhkan di bawah Akta Tribunal Perkhidmatan Awam 1977 sebelum dibubarkan pada 2000.

"Jawatankuasa peraturan pegawai awam akan bersidang dan membuat keputusan jika ada penjawat awam melanggar peraturan.

"Kali terakhir tribunal itu bersidang ialah pada Julai 1994 dan semua kes membabitkan disiplin serta salah laku penjawat awam dikendalikan jawatankuasa Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja dan perasmian Peneraju Transformasi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Mohd Zuki turut menyaksikan majlis penyerahan cek wang zakat berjumlah RM39,000 daripada Telekom Malaysia (TM) oleh Pengurus Besar TM Terengganu, Maliki Harun kepada Pengetua SMK Sultan Sulaiman, Abu Bakar Muda.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil; Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan, Wan Hisham Wan Rahim serta Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Jelani Sulong.

Februari lalu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, Fahmi Fadzil, dilapor mencadangkan supaya Tribunal Penjawat Awam diwujudkan semula sebagai platform untuk penjawat awam mendapat pembelaan.

Katanya, penubuhan tribunal itu bagi membolehkan perkara berkaitan dengan perkhidmatan awam dirujuk kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) dan Ketua Setiausaha Negara untuk diteliti.

Berita Harian X