Sabtu, 9 March 2024 | 2:35pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Netizen beri reaksi berbeza isu percepatkan kenaikan gaji penjawat awam

KUALA LUMPUR: Desakan CUEPACS supaya kerajaan menyegerakan kenaikan gaji penjawat awam berikutan kedudukan gaji semasa tidak lagi sepadan dengan kos sara hidup tinggi mendapat reaksi berbeza rakyat.

Pada 23 Februari lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Dr Adnan Mat berkata ramai kalangan penjawat awam tidak lagi mampu menghadapi kos sara hidup tinggi seperti ditanggung ketika ini.

Tinjauan di laman Facebook Berita Harian menerusi laporan bertajuk 'CUEPACS desak kerajaan percepat naikkan gaji penjawat awam' itu mendapati sebahagiannya bersetuju dengan gesaan kenaikan gaji oleh penjawat awam kerana sudah tiba pada masanya.

Seorang netizen berkata, kenaikan gaji penjawat awam bergaji rendah terutama di bawah garis kemiskinan sememangnya perlu dinaikkan sejajar perubahan zaman.

"Naik gaji (penjawat awam) April atau Mei ini sesuai sangat dah. Memang penjawat awam dah tunggu lama sangat dah terutama Gred 23 ke bawah memang terasa sangat gaji terlalu rendah.

"CUEPACS bersuara untuk kakitangan kerajaan terutama yang bergaji minima RM1,200 ke bawah. Swasta pun dah naik gaji minima ke RM1,500. Kenapa orang ramai nak marah, kalau kata ada (penjawat awam) yang malas, bukan semua ya penjawat awam macam itu, tak adil nak pukul sama rata," katanya.

Semalam pula, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilaporkan mengesahkan kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini.

Perdana Menteri dilaporkan berkata SSPA baharu itu akan cuba diumumkan sebelum akhir tahun ini selepas 10 tahun gaji penjawat awam tidak dinaikkan sebelum ini.

Sementara itu, ada juga netizen turut mempertikaikan gesaan kenaikan gaji penjawat awam tidak seiring dengan produktiviti mereka yang didakwa masih rendah dan tidak berubah.

Mereka yang mempertikai gesaan kenaikan gaji penjawat awam itu sebaliknya berkata, seharusnya peningkatan kualiti perkhidmatan kerja perlu diutamakan berbanding permintaan kenaikan gaji yang sering dilaungkan CUEPACS.

"Asyik sibuk nak naikkan gaji saja, pernah ke Presiden CUEPACS minta semua penjawat awam tingkatkan produktiviti, amanah waktu bekerja, jangan curi tulang serta jauhi rasuah. Ini asyik gaji dan bonus sahaja dicakap setiap waktu," katanya.

Seorang lagi netizen berkata, kenaikan gaji penjawat awam adalah hakikat ekonomi golongan itu terutama yang bergaji di bawah paras kemiskinan dan menjadi kewajipan Presiden CUEPACS memperjuangkannya.

Malah beliau yang juga penjawat awam turut mencadangkan supaya kerajaan turut meluluskan segera permohonan Gantian Cuti Rehat (GCR) yang amat diperlukan kakitangan awam.

"Jika boleh, saya turut cadangkan kerajaan luluskan segera permohonan GCR yang majoriti penjawat awam mohon kerana kesempitan hidup waktu ini.

GCR adalah award wang tunai yang diberi kepada Anggota Perkhidmatan Awam yang tidak berpeluang menghabiskan cuti rehat disebabkan kepentingan perkhidmatan.

Berita Harian X