Sabtu, 9 March 2024 | 1:11pm
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan memasyhurkan Lenggong Geopark pada Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah (tengah) berkenan memasyhurkan Lenggong Geopark pada Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan, hari ini. - Foto BERNAMA

Sultan Nazrin sempurnakan pemasyhuran Geopark Kebangsaan Lenggong

LENGGONG: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menyempurnakan pemasyhuran Geopark Kebangsaan Lenggong (Lenggong Georpark), merangkumi keluasan 2,068 kilometer persegi membabitkan empat mukim dalam daerah Hulu Perak.

Pada majlis di Kota Tampan yang turut dihadiri Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad itu, baginda turut merasmikan Galeri Geopark Lenggong.

Geopark Lenggong mendapat pengiktirafan kebangsaan pada 16 Disember 2021, yang kedua di Perak selepas Geopark Kinta. Ia mempunyai 27 geotapak, iaitu lima bertaraf antarabangsa dan 22 bertaraf kebangsaan, tapak arkeologi (9), tapak biologi (8) dan tapak budaya serta sejarah (18).

Nik Nazmi dalam ucapannya, berkata pemasyhuran Geopark Lenggong adalah manifestasi ke arah pemeliharaan, pendidikan dan pembangunan secara leatari, bukan sahaja di Lenggong, malah seluruh negara.

"Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat meningkatkan industri pelancongan negara serta memberi nilai tambah kepada aktiviti ekonomi masyarakat, khususnya di daerah kecil Lenggong," katanya.

Katanya, pendekatan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam membangunkan geopark bertujuan memajukan sosioekonomi sesuatu kawasan.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melawat galeri selepas menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark, hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan melawat galeri selepas menyempurnakan Majlis Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark, hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, ia terbukti melalui pengiktirafan geopark global yang diperoleh di negara seperi Jepun, China dan Indonesia yang berjaya merancakkan aktiviti pelancongan serta meningkatkan pendapatan komuniti kawasan berkenaan.

Nik Nazmi berkata, kementeriannya selaku Peneraju dan Pengerusi Jawatankuasa Geopark Kebangsaan menyokong penuh usaha pembangunan geopark dalam negara yang terbukti dengan pengiktirafan 11 geopark kebangsaan dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan.

Selain itu, katanya, pengiktirafan dua geopark bertaraf UNESCO Global Geopark, iaitu Langkawi di Kedah pada 2007 dan Kinabalu di Sabah pada 2023.

Beliau berkata, peruntukan RM4 juta diluluskan kepada Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak di bawah Rolling Plan Pertama (RP1) hingga RP3 (2021 hingga 2023) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi pelaksanaan kajian dan penyelidikan aspek geologi di Lenggong.

Menerutnya, peruntukan RM1.1 juta pula diluluskan bagi menaiktaraf infrastruktur di Geopark Lenggong.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melawat reruai Lenggong Geopark selepas menyempurnakan Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan hari ini. - Foto BERNAMA
Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah berkenan melawat reruai Lenggong Geopark selepas menyempurnakan Pemasyhuran Lenggong Geopark dan Perasmian Galeri Lenggong Geopark di Dataran Kota Tampan hari ini. - Foto BERNAMA

Mengenai Galeri Lenggong Geopark, Nik Nazmi berkata, ia dibangunkan dengan tajaan Yayasan Al-Bukhari, membabitkan kerjasama kementeriannya, JMG Perak dan Penasihat Lenggong Geopark, Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.

Katanya, galeri itu dikunjungi 2,500 pengunjung sejak hari pertama pembukaannya pada 16 Disember 2023 sehingga Februari lalu, sekali gus menunjukkan kehadiran pengunjung yang memberangsangkan dalam tempoh dua setengah bulan itu.

Dalam pada itu Nik Nazmi berkata, kementeriannya sedang bekerjasama erat dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mewujudkan lesen jurupandu (geo guide) bagi kawasan geopark di bawah Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

"Sejumlah 229 jurupandu geo di semua geopark kebangsaan berjaya lulus dalam kursus anjuran MOTAC dan JMG, iaitu salah satu prasyarat dalam lesen. Di Lenggong Geopark sendiri, seramai 23 geo guide berjaya lulus dalam kursus terbabit," katanya.

Berita Harian X