Sabtu, 9 March 2024 | 11:02am

'Kalau berani, isytihar 7 kerusi itu kosong... biar rakyat buat perhitungan'

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, mencabar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dikosongkan.

Ia berikutan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU di kerusi terbabit beralih pendirian dengan menyatakan sokongan kepada pihak lawan.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU menegaskan, mandat harus dikembalikan kepada rakyat menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) di semua kerusi berkenaan.

"Jika berani, isytiharkan enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN Selangor itu kosong.

"Kita kembalikan mandat kepada rakyat, dan biarlah rakyat yang membuat perhitungan.

"Saya bukan hendak mendabik dada tetapi saya yakin, insya-Allah, PN akan menang lebih besar di kerusi-kerusi ini jika PRK diadakan," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Wakil-Wakil Rakyat PN 2024, di sini, hari ini.

Enam Ahli Parlimen daripada BERSATU yang telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).

Selain itu, Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

ADUN terbabit pula adalah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang) yang juga bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, yang mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, baru-baru ini.

Berita Harian X