Jumaat, 8 March 2024 | 10:20pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar bersama Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat menunjukkan kadar zakat fitrah di setiap negeri pada Majlis Pelancaran Sambutan Ihya Ramadan Bagi Tahun 2024M Bersamaan 1445H di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar bersama Ketua Divisyen Kutipan Lembaga Zakat menunjukkan kadar zakat fitrah di setiap negeri pada Majlis Pelancaran Sambutan Ihya Ramadan Bagi Tahun 2024M Bersamaan 1445H di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Perbanyakkan program ilmu sepanjang Ramadan - Na'im

PUTRAJAYA: Agensi agama Islam di seluruh negara disaran menganjurkan program keilmuan untuk masyarakat bagi mengimarahkan Ramadan yang akan disambut tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata program seumpama itu diharap dapat memberi manfaat kepada umat Islam pada bulan berkenaan, sekali gus menangkis anasir ajaran agama yang terpesong.

"Kita bimbang ada dalam kalangan masyarakat Islam kita yang mungkin cetek ilmu agamanya akan mudah terpengaruh dengan ajaran sesat seumpama itu.

"Jadi dengan adanya program pada Ramadan, masyarakat Islam berpeluang untuk belajar dan mendapat ilmu pengetahuan yang sebenar daripada program yang diaturkan oleh agensi agama," kata kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sambutan Ihya Ramadan Peringkat Kebangsaan 2024 di Masjid Putra, di sini, hari ini.

Mohd Na'im berkata, Jabatan Kemajuan Agama Islam (JAKIM) perlu menyelaras program kerohanian dan kemasyarakatan bersama pegawai kader JAKIM di pelbagai kementerian dan jabatan.

"Kita mesti memakmurkan program Ramadan di seluruh kementerian dan jabatan dengan kerjasama strategik berkenaan.

"Perkara ini amat penting supaya kita semua dapat menghayati nilai-nilai yang terkandung dalam Madrasah Ramadan," katanya.

Katanya, JAKIM bersama agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) perlu menggerakkan kempen Ihya Ramadan melalui media sosial termasuk program di televisyen dan radio.

"Kita mahu kempen ini disebar luas agar ia dapat melebarkan manfaat kepada masyarakat untuk membentuk Bi'ah Solehah.

"Dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan berkenaan, diharapkan ia dapat melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi, intelek dan sosial," katanya.

Berita Harian X