Jumaat, 8 March 2024 | 10:06pm

Pindaan hak kewarganegaraan anak lahir luar negara dibentangkan di Parlimen bulan ini - PM Anwar

PETALING JAYA: Kerajaan akan membentangkan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang lahir luar negara di Parlimen, bulan ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pindaan itu antara lain membabitkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan yang mentakrifkan bahawa ibu bapa itu hanya merujuk kepada bapa.

Justeru, beliau berharap pindaan itu akan mendapat sokongan semua Ahli Parlimen.

"Kalau masih tidak boleh terima kenyataan dan perubahan ini, saya fikir (mereka) tidak layak menjadi Ahli Parlimen," katanya dalam ucapan sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024.

Disember lalu, Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan, perkataan 'bapa' dalam Seksyen 1(b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan sebelum ini agak pelik.

"Dalam Perlembagaan, Parents bagi perkataan Bahasa Inggeris adalah Father (bapa), saya tidak pernah dengar bahawa parents itu merujuk kepada bapa.

"Parents adalah ibu dan bapa, bagi saya itu (merujuk kepada father sahaja) adalah pelik. Jadi kita akan ubah segera, jadi perkataan bapa itu akan digantikan kepada ibu bapa atau sekiranya ibu dan bapa tidak sekali (bercerai), ia akan menjadi ibu atau bapa," katanya.

Malah, beliau berkata, disebabkan isu itu, kerajaan terpaksa bergelut selama bertahun-tahun bagi menguruskan masalah berkenaan.

"Kita bentang pada Majlis Raja-Raja Melayu dan sukacita dimaklumkan, bahawa istilah bapa yang diiktiraf dalam Perlembagaan itu, dari segi hak anak warganegara, akan digantikan kepada ibu bapa atau ibu atau bapa.

"Saya bersyukur Alhamdulillah dan setelah begitu lama puluhan tahun perkara ini dibangkitkan, Kerajaan Madani di bawah Menteri Pembangunan Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, dapat lakukan pindaan sangat bererti ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. NSTP/Eizairi Shamsudin
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Majlis Perasmian Sambutan Hari Wanita Antarabangsa anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. NSTP/Eizairi Shamsudin
Berita Harian X