Jumaat, 8 March 2024 | 3:53pm
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Isu LTAT: Raja Mohamed Affandi sedia beri kerjasama kepada PAC

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sedia memberikan kerjasama penuh Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) sekiranya dipanggil berhubung pendedahan laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Raja Mohamed Affandi antara tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT yang disenarai PAC untuk dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam LKAN.

Dua lagi adalah bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi LTAT, Dayana Rogayah Omar, yang sebelum ini meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, Raja Mohamed Affandi berkata PAC mempunyai tanggungjawab mereka sendiri dan dalam hal itu sudah semestinya pengurusan LTAT juga ada penjelasan yang akan dibuat oleh pihak mereka.

"Atas sebab itu, saya akan memberi kerjasama penuh dan sedia memberi keterangan sekiranya perkara itu diperlukan oleh PAC," katanya ketika dihubungi BH.

Semalam, media melaporkan Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya akan memanggil tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT itu selepas Aidilfitri kerana amat bimbang dengan kewangan agensi terbabit selepas pendedahan LKAN 2022, sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum.

Selain tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah berkenaan berkata, PAC juga tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandangkan isu itu amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum yang terdiri anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

LKAN 2022 melaporkan LTAT tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion.

Syarikat subsidiari itu membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM0.768 bilion dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM0.044 bilion.

Perkara ini menyebabkan untung bersih dan pelaburan dalam syarikat subsidiari terlebih nyata, berjumlah RM0.812 bilion.

Pada masa sama, LKAN 2022 mendapati rizab LTAT dilaporkan berbaki negatif RM0.338 bilion pada 2022.

LTAT merekodkan keuntungan bukan tunai RM0.189 bilion yang digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum.

Berita Harian X