Jumaat, 8 March 2024 | 3:13pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

SPRM sedia siasat dakwaan pegawai 'bocor' maklumat - Azalina

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia untuk menyiasat sebarang dakwaan membabitkan pegawainya yang membocorkan maklumat kepada mana-mana pihak termasuk media.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, rekod SPRM mengesahkan belum ada laporan polis dibuat berhubung perkara berkenaan kerana dakwaan yang dibuat itu terlalu umum.

Beliau menegaskan dalam menjalankan sesuatu penyiasatan di SPRM, banyak pihak akan terbabit dalam proses itu atas pelbagai kapasiti sama ada sebagai suspek, saksi, pihak mahkamah, peguam dan pemberita ketika proses permohonan reman dibuat.

"Siasatan SPRM di mana-mana premis juga sering menjadi perhatian umum. Justeru pihak yang berkenaan ketika penyiasatan berlaku juga mempunyai pengetahuan berkaitan siasatan berkenaan.

"Oleh yang demikian adalah agak sukar untuk mengesahkan atau menuduh mana-mana pihak sebagai terbabit dalam apa-apa pembocoran maklumat berkaitan dengan sesuatu siasatan," katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) sama ada laporan polis sudah dibuat serta apa tindakan kerajaan berkaitan kebocoran maklumat kepada media melalui 'sumber' yang sering berlaku di SPRM kerana menimbulkan persoalan mengenai integriti SPRM sendiri.

Sebelum ini, Wan Saiful pernah menggesa SPRM mengambil tanggungjawab dengan membuat laporan kepada polis sekiranya berlaku kebocoran maklumat siasatan agensi itu kepada media jika benar perkara itu tiada kaitan dengan pihaknya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU itu juga berkata, tindakan itu perlu diambil bagi membuktikan tidak wujud sebarang kebocoran 'terpilih'.

Selain Wan Saiful Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA), Wan Azliana Wan Adnan dilapor menegaskan sebarang siasatan dijalankan SPRM sepatutnya tidak boleh diuar-uarkan kepada media selagi belum selesai, lantas isu kebocoran maklumat siasatan oleh agensi itu memerlukan siasatan dalaman secara menyeluruh bagi memastikan tiada isu 'komplot'.

Dalam pada itu, Azalina berkata pegawai SPRM akan mengawal segala maklumat berkait dengan sesuatu penyiasatan bagi mengelakkan maklumat itu terdedah kepada pihak yang tidak berkaitan dan boleh menjejaskan siasatan yang sedang dijalankan.

"Bagi kes-kes salah laku tidak bersifat jenayah terhadap pegawai SPRM, ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Aduan yang ditubuhkan di bawah seksyen 15 Akta SPRM [Akta 694].

"Bagi kes jenayah yang membabitkan pegawai, ia akan dilaporkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala kes berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan akan disiasat SPRM kerana ia di bawah bidang kuasanya," katanya.

Azalina berkata, dalam hal ini SPRM memberi jaminan akan menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil bagi memastikan tiada pihak teraniaya.

Berita Harian X