Jumaat, 8 March 2024 | 3:07pm

Kabinet akan bincang prestasi FELDA, LTAT - Anwar

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan FELDA menyerahkan laporan penuh dalam tempoh dua minggu berhubung prestasi agensi itu, susulan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022.

Perdana Menteri berkata, notis sudah diberikan kepada agensi terbabit untuk mengemuka penjelasan serta keterangan penuh berhubung perkara berkenaan.

"Ya. Memang dah bagi notis supaya ada penjelasan, keterangan penuh daripada LTAT (dan FELDA) walaupun perkara ini daripada audit (LKAN) 2022.

"Saya minta laporan itu. Kita beri mereka notis sekurang-kurangnya dua minggu untuk kemukakan laporan penuh. Kemudian Kabinet akan berbincang mengenainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Amaniah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, hari ini.

LKAN kelmarin mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM44 juta.

LKAN mendedahkan rizab LTAT merekodkan baki negatif bagi tiga tahun berturut-turut sejak 2020, iaitu RM376 juta, RM285 juta (2021) dan RM338 juta (2022).

FELDA pula mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada 2022, meningkat berbanding RM545 juta pada 2021.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara, Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini, baki pinjaman daripada institusi luar FELDA pula mencatatkan penurunan, iaitu RM8.659 bilion berbanding RM8.809 bilion pada 2021.

Ditanya sama ada keperluan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat isu berkenaan, Anwar berkata, laporan LKAN terbabit akan diteliti terlebih dahulu sebelum memberi peluang kepada kementerian serta agensi berkaitan untuk mengemuka penjelasan.

"Apa yang penting ialah kita perlu 'stop the rot' (hentikan pereputan), kekurangan dan kelemahan," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri yang memakai baju Melayu biru menunaikan solat Jumaat bersama lebih 100 jemaah terdiri daripada anggota dan pegawai polis serta penduduk sekitar di Surau Amaniah IPD Putrajaya di sini.

Beliau diiringi Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Moktar dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selepas menunaikan solat Jumaat, Perdana Menteri meluangkan masa menikmati jamuan tengah hari di surau berkenaan.

Anwar tiba untuk menunaikan solat Jumaat di IPD Putrajaya. - Foto BH/MOHD FADLI HAMZAH
Anwar tiba untuk menunaikan solat Jumaat di IPD Putrajaya. - Foto BH/MOHD FADLI HAMZAH

Berita Harian X