Khamis, 7 March 2024 | 8:48pm
Irmohizam (tiga dari kiri) dan Yusri (tiga dari kanan) pada program Infaq Kasih Hope & Comfort, WTCKL. NSTP/AZHAR SHAHRULNIZAM
Irmohizam (tiga dari kiri) dan Yusri (tiga dari kanan) pada program Infaq Kasih Hope & Comfort, WTCKL. NSTP/AZHAR SHAHRULNIZAM

WTCKL lancar program infaq bantu gelandangan pada Ramadan ini

KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) melancarkan program Infaq Kasih Hope & Comfort sebagai inisiatif membantu golongan memerlukan terutama gelandangan dan golongan miskin bandar di sekitar ibu kota pada Ramadan ini.

Bagi merealisasikan misi ini, WTCKL turut bekerjasama dengan Food For Gelandangan (FFG) dan turut mendapat sokongan daripada Creative Seven Legacy serta Ducati Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan WICKL, Yusri Mohd Junos, berkata inisiatif ini dilakukan bagi membolehkan golongan yang memerlukan dihargai dengan pemberian barangan keperluan.

"Mungkin barang (sumbangan) ini tidak seberapa bagi kita, tetapi amat bermakna kepada mereka yang memerlukan. Kita mengenal pasti beberapa lokasi ada gelandangan dan orang yang memerlukan untuk diagihkan sumbangan.

"Jika sumbangan yang kami terima terlampau banyak, inisiatif ini akan diperluaskan lagi kepada rumah anak yatim dan sebagainya," katanya selepas melancarkan program Infaq Kasih Hope & Comfort di WTCKL, di sini.

Turut hadir, Pengerusi FFG, Noor Arjuna Abd Ghani; Pengasas FFG, Mohd Azizan Zainal Abidin dan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim

Pelaksanaan program ini juga bagi menyediakan sokongan, keselesaan kepada gelandangan dan golongan miskin bandar dengan memberikan keperluan asas, sokongan emosi dan menggalakkan inisiatif pembabitan masyarakat setempat.

Yusri berkata, pemberian sumbangan itu dapat membangkitkan kesedaran kepada penyumbang supaya berkongsi rezeki yang ada dengan mereka yang kekurangan.

"Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan bermula hari ini hingga 5 April di lokasi pengumpulan barangan akan disediakan di pelantaran WTCKL dan ruang pameran Ducati di cawangan Lembah klang.

Yusri berkata, aktiviti pengagihan barangan dijadualkan pada 5 April di sekitar ibu kota. Aktiviti ini membabitkan sukarelawan kakitangan WTCKL, FFG, Creative Seven Legacy dan wakil Ducati Malaysia.

"Ia bermula di Jalan Silang dan akan berakhir di Jalan Belia. Semua sukarelawan yang menyertai program akan berjalan ke beberapa lokasi untuk menyampaikan bekalan makanan kering, keperluan harian dan khidmat perubatan kepada 250 gelandangan dan golongan miskin bandar," katanya.

Sementara itu, Irmohizam berkata, antara barangan boleh didermakan termasuk pakaian dan mainan terpakai, alat tulis dan keperluan asas seperti peralatan kebersihan diri, lampin pakai buang serta makanan kering seperti beras, biskut dan makanan dalam tin yang tidak mudah rosak.

Berita Harian X