Khamis, 7 March 2024 | 7:13pm
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan ABM, Datuk John Chong berucap pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam Untuk Profesional Media di Menara KEN, Petaling Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.
Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan ABM, Datuk John Chong berucap pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam Untuk Profesional Media di Menara KEN, Petaling Jaya, hari ini. - Foto NSTP/Asyraf Hamzah.

Bank sekat RM383 juta urus niaga `scam' pada 2023

KUALA LUMPUR: Institusi kewangan di Malaysia berjaya menghalang urus niaga mencurigakan dan penipuan bernilai RM383 juta dari Januari hingga Disember 2023, kata Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM).

Pengerusi Pasukan Petugas Khas Membanteras Penipuan Kewangan ABM dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata pencapaian 15 bank di Malaysia membuktikan komitmen mereka terhadap langkah pencegahan penipuan yang kukuh.

Katanya, pelaksanaan pelbagai langkah keselamatan, mengetatkan parameter pemantauan penipuan dan kawalan penipuan yang dipertingkatkan, terus menghasilkan momentum positif dalam memerangi urus niaga yang mencurigakan dan penipuan.

"Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), terdapat pengurangan 58 peratus urus niaga perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dalam tempoh lima bulan," katanya pada Bengkel Penipuan #JanganKenaScam Untuk Profesional Media, di sini, hari ini.

Chong berkata bank-bank telah melaksanakan lima langkah utama yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memerangi penipuan sejak Julai 2023.

Lima langkah utama adalah beralih daripada kata laluan satu kali SMS (OTP), mengetatkan peraturan pengesanan penipuan bank, membenarkan hanya satu peranti mudah alih atau peranti selamat didaftarkan, pengesahan dan tempoh bertenang untuk pendaftaran kali pertama e-perkhidmatan perbankan atau peranti selamat dan saluran aduan khusus untuk pelanggan yang beroperasi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu (24/7).

Selain itu, bank juga secara proaktif melaksanakan langkah keselamatan lain seperti mengelak daripada menghantar SMS atau e-mel dengan pautan, menguatkuasakan aplikasi mudah alih untuk hanya beroperasi pada versi sistem pengendalian yang selamat, 'kill switch', kaedah pemantauan jenama dan pengesahan keselamatan di mesin pengeluaran wang automatik (ATM), diikuti dengan pelaksanaan tempoh bertenang.

"Dalam usaha kami untuk menangani penipuan kewangan secara holistik pada skala yang lebih luas, bank akan melaksanakan langkah menangani penipuan yang serupa untuk segmen perbankan bukan runcit dalam beberapa bulan akan datang, di bawah bimbingan BNM.

"Kami akan menguatkuasakan pengesahan berbilang faktor (MFA) yang kukuh dan tempoh bertenang untuk sebarang pengaktifan MFA bagi peningkatan had pemindahan pihak ketiga dengan penhantaran pemberitahuan kepada pelanggan yang tepat pada masanya. Turut disediakan adalah talian hotline 24/7," katanya.

Chong berkata bank juga akan terus menilai cara praktikal lain untuk melindungi pelanggan dengan lebih lanjut seperti mengesan perisian hasad dalam Kit Pakej Android (APK).

- BERNAMA

Berita Harian X