Khamis, 7 March 2024 | 5:19pm
ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. - Foto fail NSTP
ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari. - Foto fail NSTP

Isytihar sokong kepimpinan MB: ADUN Selat Klang akan terlucut keahlian BERSATU - Razali

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Badan Pimpinan BERSATU Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari akan terlucut keahlian daripada parti susulan tindakannya mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, semalam.

Justeru, susulan pindaan terhadap Perkara 10 Perlembagaan BERSATU pada 2 Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang yang disandang Abdul Rashid perlu dikosongkan, sama seperti situasi enam Ahli Parlimen BERSATU yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris berkata, tindakan sama ada wakil rakyat terbabit mahu mencabar pindaan Perlembagaan parti di mahkamah atau apa-apa cara lain selepas pindaan itu diluluskan Pendaftar Pertubuhan (ROS), itu terpulang kepada mereka.

"Ahli Parlimen atau ADUN yang keluar parti atau alih sokongan (kepada pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti), dia akan terkait dengan pindaan Perlembagaan ini.

"Jika dia mahu cabar di mahkamah atau mana-mana yang boleh melepaskan dirinya, cabarlah," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Abdul Rashid mengisytiharkan sokongan kepada kepemimpinan Amirudin dan mengakui keputusan itu dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan selepas meneliti ucapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan Selangor berada di landasan tepat, demi kemajuan negeri dan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, langkah itu juga dibuat akibat beberapa siri tindakan Perikatan Nasional (PN), terutama PN Selangor, yang didakwa berdiam diri terhadap tohmahan dilontar kepada Raja-Raja Melayu.

Mengulas perkara itu, Razali berkata, alasan yang diberikan Abdul Rashid hanyalah helah yang digunakan untuk mengalih sokongan kerana jika tidak lagi bersetuju dengan parti, beliau sepatutnya keluar parti dan mengosongkan kerusinya.

"Tidak perlulah mahu berhelah dan mencari alasan yang bagus. Jika tidak setuju dengan pimpinan dan cara parti, letak jawatan dan bertandinglah balik atas tiket parti lain atau Bebas.

"Parlimen meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang wakil rakyat lompat parti. Kamu kononnya setia kepada parti tapi sokong pihak lain dan cuba mencari alasan untuk membenarkan pengkhianatan itu.

"Walaupun Parlimen sudah buat macam-macam tapi jika ada lagi wakil rakyat sebegini, politik negara kita akan jadi bahaya dan tidak akan dihormati," katanya.

Pada 2 Mac lalu, BERSATU meluluskan pindaan perlembagaannya dalam Mesyuarat Agung Khas, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, susulan pindaan itu, kerusi Parlimen atau DUN wakil rakyat terbabit perlu dikosongkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia termasuk kerusi enam Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepada Anwar sebelum ini, iaitu Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Berita Harian X