Khamis, 7 March 2024 | 11:56am

PAC panggil 3 bekas pengurusan tertinggi LTAT

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil tiga bekas pengurusan tertinggi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu yang negatif seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dibentang semalam.

Tiga inidvidu itu adalah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif LTAT, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman serta Pengarah Kanan Strategi Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Dayana Rogayah Omar, yang sebelum ini meletakkan jawatan.

Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin pada sidang medianya hari ini, memaklumkan prosiding itu akan dilakukan selepas Aidilfitri.

"PAC amat bimbang dengan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum.

Beliau berkata, PAC tidak menolak untuk memanggil Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memandangkan isu itu amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum, yang terdiri daripada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, bagi dua lagi agensi yang turut dibangkitkan dalam laporan LKAN iaitu FELDA dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), PAC akan membuat keputusan selepas prosiding LTAT selesai.

"Ketua Audit Negara dalam pembentangannya semalam menyenaraikan tiga agensi yang perlu diberikan perhatian oleh PAC untuk dipanggil bagi prosiding iaitu FELDA, LTAT dan PR1MA berikutan terdapat masalah dalam Penyata Kewangan 2022, PAC sudah membuat keputusan untuk memanggil LTAT terlebih dalu," katanya.

Pada 19 Februari lalu, Dayana dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya. Sebelum itu, LTAT menyaksikan peletakan jawatan Ahmad Nazim pada 31 Januari lalu diikuti Raja Mohamed Affandi pada 8 Februari lalu.

LKAN semalam mendedahkan LTAT tidak membuat penjelasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM812 juta membabitkan Boustead Holdings Berhad berjumlah RM768 juta dan Pharmaniaga Berhad berjumlah RM44 juta.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati berkata, pada persidangan kali ini, PAC akan membentangkan enam lagi laporan selepas Laporan Kemajuan Projek Pembangunan kapal tempur pesisir (LCS) kedua yang sudah dibentangkan pada 29 Februari lalu.

"Pembentangan semua laporan itu menjadikan jumlah laporan PAC yang dibentangkan adalah sebanyak tujuh laporan iaitu empat laporan PAC dan 3 laporan tindakan susulan.

Berita Harian X