Khamis, 7 March 2024 | 10:53am
Dr Kamal (kiri) menerima replika cek dari pada Zachary William Taylor yang menganjurkan inisiatif larian untuk mengisi tabung bantuan pesakit barah payudara dan serviks di Acacia Hall, Tingkat 3, Hospital Gleaneagles JB. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Dr Kamal (kiri) menerima replika cek dari pada Zachary William Taylor yang menganjurkan inisiatif larian untuk mengisi tabung bantuan pesakit barah payudara dan serviks di Acacia Hall, Tingkat 3, Hospital Gleaneagles JB. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Hospital Gleneagles Johor sokong usaha kesedaran rawatan kanser

ISKANDAR PUTERI: Hospital Gleneagles Johor (GHJ) mengalu-alukan segala komitmen yang ditunjukkan mana-mana kumpulan atau individu dalam usaha menjaga aspek kesihatan masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr Kamal Amzan, berkata terbaharu usaha yang ditonjolkan pelajar Kolej Marlborough Malaysia, Zachary William Taylor, 16, dengan larian sejauh 85 kilometer (km) di sepanjang pantai Singapura.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Serantau Hospital Selatan dan Timur di IHH Malaysia berkata, larian yang dilakukan warganegara British pada akhir tahun lalu itu bagi mengumpul dana untuk rawatan pesakit kanser serviks dan payudara.

"Usaha remaja ini telah mendapat perhatian dan sokongan yang ketara, mencerminkan kekaguman masyarakat terhadap usaha beliau. Sebanyak RM5,000 yang dikumpul menerusi gogetfunding.com sepanjang tempoh lebih 15 jam tersebut.

"Kami berbangga menjadi sebahagian daripada perjalanan Zachary. Dedikasi beliau untuk membantu mereka yang memerlukan selaras dengan misi kami di GHJ.

"Melalui usaha individu yang berdedikasi sedemikian, masyarakat boleh mempunyai akses untuk menjaga dan ini penting bagi penjagaan kesihatan di Johor supaya terus berkembang," katanya pada sidang media di GHJ, di sini kelmarin.

Dr Kamal memaklumkan pihaknya menyokong usaha selaras dengan objektif GHJ yang menyediakan bantuan kewangan untuk pesakit yang didiagnosis dengan kanser payudara atau serviks.

Katanya, berdasarkan inisiatif itu ia memberi inspirasi, GHI juga akan menyediakan RM5,000 bagi tujuan sama.

Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr. Kamal Amzan dan Zachary William Taylor yang menganjurkan inisiatif larian untuk mengisi tabung bantuan pesakit barah payudara dan serviks beramah mesra bersama komuniti kanser di Acacia Hall, Tingkat 3, Hospital Gleaneagles JB. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan
Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Johor, Dr. Kamal Amzan dan Zachary William Taylor yang menganjurkan inisiatif larian untuk mengisi tabung bantuan pesakit barah payudara dan serviks beramah mesra bersama komuniti kanser di Acacia Hall, Tingkat 3, Hospital Gleaneagles JB. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

"Dana yang dikumpul akan disalurkan untuk Kumpulan Sokongan Kanser Payudara (BCSG), Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (TLJCF) dan Persatuan Sokongan Kanser iCare Johor (iCare), ia secara langsung memberi manfaat kepada 25 individu yang memerlukan rawatan kanser.

"Adalah menjadi komitmen kepada masyarakat bahawa hospital akan terus berbangga dan memimpin penjagaan kesihatan Johor ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Kesedaran orang ramai

Sementara itu, Zachary berkata, persediaan fizikal dan mental menjadi cabaran sepanjang larian solo berlangsung.

"Selain memberi impak positif terhadap kesihatan, bersukan dengan larian ini juga dilihat mampu memberi inspirasi kepada orang lain untuk bersama dan beramal. Selain membantu meningkatkan kesedaran awam mengenai pentingnya rawatan kanser.

"Saya memulakan larian tersebut pada jam 6 pagi sebelum berjaya menamatkan jarak 85km itu pada jam 10.30 malam. Saya bangga kerana dapat melakukannya dan juga membantu mengumpul dana untuk rawatan awal kanser.

"Saya mempersiapkan diri selama tiga bulan sebelum memulakan larian solo. Saya percaya semua pihak termasuk anak muda mampu memberi sumbangan," katanya.

Berita Harian X