Khamis, 7 March 2024 | 10:28am
Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Datuk Abd Aziz Aban. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Pengarah Bahagian Perancangan Governans Nasional, Datuk Abd Aziz Aban. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

SPRM komited tingkat CPI Malaysia

KUALA LUMPUR: Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited untuk memastikan negara mencapai kedudukan ke-25 teratas dunia pada Prestasi Indeks Persepsi Rasuah (CPI).

Pengarahnya, Datuk Abd Aziz Aban, berkata kedudukan Malaysia kini berada di kedudukan ke-57 daripada keseluruhan 180 negara, berbanding ke-61 pada 2022.

Katanya, kedudukan skor Malaysia dalam CPI 2023 juga meningkat daripada 47 pada 2022 kepada 50 mata.

"Berdasarkan skor CPI ini, kami optimis mengejar sasaran untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas dunia dalam masa 10 tahun," katanya.

Abd Aziz berkata, dalam usaha memastikan sasaran itu tercapai, satu sesi perbincangan meja bulat berhubung Pasukan Khas CPI Malaysia diadakan pada Disember tahun lalu, bagi membincangkan terma rujukan, struktur dan hala tuju pasukan berkenaan

"Cadangan struktur dan terma rujukan Pasukan Khas CPI Malaysia bakal dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri pada suku pertama tahun ini.

"Perkara itu selaras dengan sasaran dibentangkan Perdana Menteri yang ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12," katanya.

Abd Aziz berkata, BPGN juga komited untuk meneruskan fungsi Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC) selepas diserap ke dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tahun lalu.

Katanya, enam fungsi utama GIACC iaitu menasihati Kerajaan, menyelaras pelaksanaan inisiatif, menilai tahap keberkesanan, merancang strategi, memantau dan melapor dapatan tindakan berkaitan governans, integriti dan antirasuah diteruskan BPGN bagi memastikan kesinambungan momentum pelaksanaan dasar-dasar Kerajaan berkaitan governans, integriti dan antirasuah.

"Pelan Antirasuah Nasional 2019-2023 (National Anti-Corruption Plan - NACP) yang sebelum ini dipantau pelaksanaannya oleh GIACC diambil alih oleh BPGN, SPRM.

"Pelan dilancarkan pada 29 Januari 2019 adalah iltizam yang ditunjukkan negara selari dengan semangat yang terkandung dalam United Nations Convention Against Corruption (UNCAC) yang mana Malaysia adalah salah sebuah negara anggota apabila menandatangani konvensyen ini pada 1 Disember 2003," katanya.

NACP merentas masa

Menurutnya, NACP adalah bersifat merentas masa, 'living document' dan mengambil kira dasar dan keperluan semasa.

Abd Aziz berkata, pada 2021 semakan semula separuh penggal ke atas NACP dilaksanakan, di mana baki 86 inisiatif dinilai.

Katanya, secara keseluruhan, sebanyak 111 inisiatif dipantau oleh BPGN. Sehingga 31 Disember 2023, secara keseluruhan mencapai sebanyak 77 peratus penyiapan sehingga ke peringkat output (pengeluaran/pembaharuan sesuatu dasar) iaitu 85 inisiatif walaupun negara berdepan masalah pandemik COVID-19.

"BPGN kekal komited dalam pemantauan inisiatif NACP dan bersedia menggalas tanggungjawab baharu untuk menyelaras rancangan berikutnya, iaitu NACS 2024- 2028 yang bakal dilancarkan pertengahan tahun ini.

Abd Aziz berkata, pada 6 Julai tahun lalu, mandat bagi pembangunan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 diperoleh bagi menggantikan NACP.

Katanya, mandat diberikan ketika keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) Siri 17 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. JKKMAR kini telah diperkasa fungsinya dan dikenali sebagai Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Tatakelola Nasional (JKKTN).

"Pengumpulan cadangan strategi dan idea pembaharuan yang bakal dirangka ini diharap memberi impak dan hasil yang signifikan kepada negara dalam konteks pembanterasan rasuah di Malaysia.

"Semakan ke atas sorotan literatur dalam konteks rasuah di Malaysia juga dilaksanakan untuk mengenal pasti strategi intervensi yang bersesuaian kelak," katanya.

Menurutnya, dokumen NACS yang bakal diterbitkan ini akan menggariskan hala tuju dan komitmen negara dalam perjuangan membanteras rasuah, mengukuhkan tatakelola baik dan nilai integriti untuk tempoh lima tahun, iaitu dari tahun 2024 sehingga 2028.

Abd Aziz berkata, selain NACS, misi adalah untuk menginstitusikan prinsip tatakelola, integriti dan antirasuah melalui pengurusan dasar yang strategik, efektif dan holistik meletakkan fokus 2024 kepada tiga perkara.

Katanya, fokus utama adalah berhubung gerakan pemantapan tatakelola nasional dengan penubuhan jawatankuasa tatakelola pada peringkat persekutuan, negeri dan kementerian serta jabatan, termasuk agensi kerajaan.

"Fokus lain termasuk berhubung inisiatif garis panduan pengendalian sokongan oleh Anggota Pentadbiran dalam urusan Kerajaan, serta pembangunan Pelan Tatakelola Baik Malaysia (MyGovernance)," katanya.

Berita Harian X