Rabu, 6 March 2024 | 7:11pm
Setiap Ahli Parlimen perlu lebih peka menuturkan ucapan dan menjaga tingkah laku dalam Dewan.
Setiap Ahli Parlimen perlu lebih peka menuturkan ucapan dan menjaga tingkah laku dalam Dewan.

Tindakan mohon maaf di Dewan Rakyat patut jadi pengajaran

KUALA LUMPUR: Permohonan maaf oleh Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, semalam atas tindakannya mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Dewan Rakyat mesti dijadikan pengajaran kepada Ahli Parlimen lain untuk lebih peka menuturkan ucapan dan menjaga tingkah laku dalam Dewan.

Seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15, 26 Februari lalu, yang membenarkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen yang melampaui batas, termasuk sekatan daripada menyertai persidangan selama 14 hari.

Penganalisis politik melihat tindakan semalam memperlihatkan ketegasan Dewan Rakyat kepada mana-mana Ahli Parlimen supaya bertanggungjawab atas ucapan yang dikeluarkan dalam Dewan.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam, berkata keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang memberi ruang kepada Wan Saiful untuk memperbetulkan keadaan juga adalah satu kaedah penyelesaian sesuai kerana memberi peluang kepada beliau bertanggungjawab atas apa yang diucapkan.

"Kita sedia maklum selepas beberapa belas penggal persidangan Parlimen, tidak ada yang tidak panas. Ini bermakna kesalahan atau sikap berlebih-lebihan boleh terjadi kepada sesiapa saja dalam Dewan.

"Hukuman penggantungan sidang selama 14 hari bukanlah pilihan utama untuk menyelesaikan semua masalah dalam Dewan. Perkara ini memerlukan hemah dan kebijaksanaan Yang Dipertua untuk menyelesaikan dengan cara terbaik demi kepentingan rakyat dan negara," katanya kepada BH, hari ini.

Beliau ditanya sama ada permohonan maaf daripada Ahli Parlimen mencukupi selepas titah Sultan Ibrahim supaya Ahli Parlimen menjaga adab dan tatatertib, selain memberi kebenaran Ahli Parlimen yang didapati melampaui batas digantung daripada menghadiri persidangan selama 14 hari.

Semalam, Wan Saiful memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Johari memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan nasional (PN) itu untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya.

Ruang kepada Wan Saiful itu diberikan sebelum satu usul oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad

Zahid Hamidi dikemukakan untuk menggantung Ahli Parlimen berkenaan selama enam bulan kerana mendakwa Anwar sebagai pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, walaupun Wan Saiful tidak dikenakan hukuman digantung daripada menghadiri persidangan, ia tidak boleh dijadikan kesempatan untuk mana-mana Ahli Parlimen bersikap tidak baik dalam Dewan dan apabila melakukan kesalahan, hanya boleh diselesaikan dengan memohon maaf.

"Ahli Parlimen, sama ada kerajaan atau pembangkang perlu fokus mencari penyelesaian kepada permasalahan rakyat, bukannya cuba mencari sensasi di dalam Dewan kerana ini tidak memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain pula berpendapat, hukuman tegas wajar dikenakan kepada Ahli Parlimen yang melanggar peraturan.

Katanya, permohonan maaf saja tidak mencukupi kerana Ahli Parlimen sudah tahu mengenai peraturan perbahasan dan sering diingatkan mengenai perkara itu.

"Ahli Parlimen sepatutnya cakna dan peka, bukan sewenang-wenangnya melanggar peraturan dan mohon maaf. Hukuman gantung 14 hari itu baik sebagai peringatan kepada Ahli Parlimen supaya mereka sentiasa mengikuti peraturan perbahasan.

"Bagi saya, hukuman lebih tegas perlu dikenakan selepas ini, selepas peringatan diberikan kepada Ahli Parlimen," katanya.

Berita Harian X