Rabu, 6 March 2024 | 5:51pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) menerima buku resolusi daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Putrajaya 2 Mac lalu. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga kanan) menerima buku resolusi daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) di Putrajaya 2 Mac lalu. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Tubuh sekretariat tetap pantau, rekod pelaksanaan resolusi KEB2024

KUALA LUMPUR: Sebuah sekretariat tetap wajar ditubuhkan bagi memantau, merekod dan menilai pelaksanaan setiap resolusi diluluskan dalam Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, baru-baru ini.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Shahbudin Embun berkata ia juga bagi memastikan apa yang dicetuskan dalam kongres itu tidak berakhir menjadi resolusi sekadar `hangat-hangat tahi ayam'.

Katanya, ia penting kerana semua perkara dicetuskan dalam kongres berkenaan dengan matlamat memperkasakan agenda ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan dengan teratur sekali gus membuahkan hasil.

"Resolusi dan perancangan dalam KEB 2024 semuanya bagus. Tetapi janganlah hanya `hangat-hangat tahi ayam' pula. Ini kerana kelemahan kita adalah pelaksanaan.

Datuk Shahbudin Embun. - Foto fail NSTP
Datuk Shahbudin Embun. - Foto fail NSTP

"Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI mesti dilihat sebagai wira pelaksana apa yang yang dirancang. Kita sibuk merancang dan berdebat. Ini perlu berubah.

"Pada masa sama, parti politik Melayu dan pemimpin mesti komited untuk melaksanakan resolusi. Jangan lepaskan peluang keemasan ini.

"Demi merealisasikan semua program ini, maka amat wajarlah sekreatariat tetap ditubuhkan untuk memantau, merekod dan menilai pelaksanaan setiap resolusi yang diluluskan dalam KEB 2024.

"Sebenarnya ini adalah antara cadangan yang dibangkitkan akar umbi untuk dibincangkan dalam kongres itu," katanya kepada BH hari ini.

Isnin lalu, Minda Pengarang BH mengemukakan lima gendala atau halangan yang boleh menggagalkan pelaksanaan resolusi KEB 2024, sekali gus mengulangi nasib Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Lima gendala itu ialah birokrasi keras, politikus oportunis, kontraktor bengkok, komunikasi terencat dan usahawan tak berdaya.

Mengulas lanjut, Shahbudin berkata kejayaan resolusi yang digariskan dalam KEB 2024 berupaya diangkat menjadi teras pemangkin kepada dasar lain.

Beliau berkata amat penting resolusi terbabit diterjemah dengan kemas dalam intipati Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) nanti.

Apa pun, katanya semua bergantung kepada peranan dan komitmen segenap kumpulan bermula daripada peringkatan atas sehingga bawah.

"Terdapat tiga kumpulan utama (untuk menjayakan resolusi ini). Pertama adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menteri Kabinet yang perlu memastikan resolusi KEB dilaksanakan dengan teratur.

"Kumpulan kedua adalah penjawat awam merangkumi Ketua Setiausaha Negara dan Ketua SetiaUsaha.

"Semua mesti peka tentang kesinambungan pelaksanaan setiap resolusi supaya ia berterusan dan berkensan. Begitu juga di peringkat negeri serta daerah kerana semua mesti memainkan peranan.

"Kumpulan ketiga adalah orang kita yang berjaya menjadi jutawan, tergolong dalan kumpulan korporat dan kumpulan menengah. Mereka berjaya kerana DEB dan peranan mereka ini kurang mendapat perhatian.

"Tetapi merekalah yang patut ke depan dan membantu orang kita yang masih tercicir. Berbeza dengan orang bukan Melayu yang banyak dibantu persatuan dan individu mereka dengan memberi balik kepada masyarakat mereka," katanya.

Berita Harian X