Rabu, 6 March 2024 | 5:41pm
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Ibu Pejabat OIC, Jeddah, Arab Saudi. - Foto ihsan FB Wisma Putra
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Ibu Pejabat OIC, Jeddah, Arab Saudi. - Foto ihsan FB Wisma Putra

OIC perlu sokongan, kerjasama negara bukan anggota selesai isu Palestin

PUTRAJAYA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) perlu mendapat sokongan dan kerjasama dari negara bukan anggota pertubuhan itu, selain berkongsi pemikiran sama dalam mencari jalan penyelesaian terhadap keganasan Israel ke atas Palestin.

Gesaan itu disuarakan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin yang mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Tergempat Majlis Menteri-Menteri Luar OIC di Jeddah, Arab Saudi, hari ini.

Menurut kenyataan dikeluarkan Wisma Putra, Mohamad menekankan kepentingan OIC terhadap usaha ke arah gencatan senjata berkekalan.

"Timbalan Menteri Luar juga menjelaskan Malaysia meningkatkan usaha diplomatik dan perundangan dalam memperjuangkan keadilan untuk rakyat Palestin.

"Ia termasuk dengan menyertai prosiding bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung isu Palestin," katanya.

Menurut kenyataan itu, Mohamad menyeru semua negara anggota untuk terus memberi sokongan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) yang memainkan peranan penting menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Selain itu, mesyuarat tergempar berkenaan menerima pakai satu resolusi yang antara lain mengutuk sekeras-kerasnya tindakan keganasan berterusan oleh Israel di Gaza dan wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Resolusi itu juga mengandungi langkah yang perlu diambil oleh OIC dalam mencari jalan penyelesaian terhadap isu berkenaan, di samping memastikan Israel di bawa ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukannya.

Penyertaan Malaysia ke mesyuarat tergempar berkenaan adalah selaras dengan usaha berterusan dalam memperjuangkan isu Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

Malaysia juga mengulangi pendiriannya untuk penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara dan Palestin diterima sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berita Harian X