Rabu, 6 March 2024 | 5:11pm
Penyerahan zakat perniagaan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Abdul Hakim Amir dan disaksikan Mohd Na’im serta Syed Kamarulzaman. - Foto Facebook PPZ
Penyerahan zakat perniagaan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Abdul Hakim Amir dan disaksikan Mohd Na’im serta Syed Kamarulzaman. - Foto Facebook PPZ

6 syarikat korporat tunai zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP

KUALA LUMPUR: Enam syarikat tampil melunaskan tanggungjawab menunaikan zakat perniagaan mereka bagi tahun 2022 dan 2023 dengan membayar sejumlah RM4,254,752.03 kepada Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Enam syarikat berkenaan ialah Cypark Resources Berhad (RM500,000), GMA Resources Sdn Bhd (RM1,000,000), KPJ Healthcare Berhad dan syarikat-syarikat dalam kumpulan KPJ (RM722,881.39), Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (RM510,000), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam-SWCorp (RM 844,269.64) dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (RM677,601).

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwan Agama), Senator Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata 16 peratus kutipan zakat pada tahun 2023 adalah daripada pembayaran zakat perniagaan iaitu sebanyak RM165.7 juta yang juga penyumbang kedua terbesar kutipan zakat selepas zakat pendapatan.

"Terima kasih kepada semua pihak yang masih dan terus menunaikan zakat dan saya menggesa lebih banyak syarikat dan individu di luar sana tampil menunaikan zakat demi memastikan lebih ramai asnaf terus terbela.

"Saya ingin menegaskan bahawa tanggungjawab menyebarkan dakwah ini bukan terletak kepada institusi agama semata-mata, malah ia adalah tanggungjawab dan amanah bersama untuk terus menyebarkan Islam di mata dunia begitu juga dengan ibadah zakat.

"Sebagai majikan, ambillah tanggungjawab dan peranan untuk mendidik kakitangan menunaikan kewajipan rukun Islam ketiga ini. Sama-sama kita panjangkan kepentingan ibadah ini agar kemanisannya dapat dirasai bersama," katanya pada Majlis Serahan Zakat Perniagaan, baru-baru ini.

Penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan disaksikan Mohd Na'im dan Pengerusi MAIWP, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Hadir sama, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Nizam Yahya serta Setiausaha MAIWP merangkap Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

PPZ-MAIWP melalui MAIWP menawarkan Skim Wakalah atau Pengembalian Semula Wang Zakat untuk dimanfaatkan semula kepada mereka yang memerlukan.

Pembayaran zakat perniagaan serendah RM10,000 dan ke atas boleh mendapat pulangan semula wang zakat antara 12.5 peratus hingga 50 peratus untuk diagihkan sendiri kepada asnaf yang memerlukan.

Syarikat boleh membuat permohonan wakalah sebanyak 50 peratus jika membayar zakat perniagaan melebihi RM1,000,000 setahun manakala 37.5 peratus kepada majikan yang mewajibkan potongan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan membuat potongan zakat kepada PPZ-MAIWP dan melebihi nilai RM100,000 setahun.

Berita Harian X