Rabu, 6 March 2024 | 4:39pm
Mohd Na'im (tengah) mengadakan simbolik pelancaran Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang dibangunkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Mohd Na'im (tengah) mengadakan simbolik pelancaran Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang dibangunkan oleh Yayasan Waqaf Malaysia. - Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.

JAKIM kena pelbagaikan konsep dakwah tarik minat generasi muda dalami ajaran Islam

MELAKA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan masjid di seluruh negara diarah mempelbagaikan program dakwah termasuk melalui platform media sosial yang mampu menarik minat generasi muda mendalami ajaran Islam secara holistik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, program seperti dibuat artis, Muhammad Aliff Muhammad Satar atau Alif Satar menggunakan tagline 'Geng Subuh Seperti Jumaat' di TikTok, misalnya boleh dicontohi kerana terbukti mendapat sambutan baik oleh pelbagai lapisan masyarakat terutama golongan muda.

"Saya sudah mengarahkan JAKIM khususnya pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan masjid di bawah pentadbirannya supaya memainkan peranan penting dengan mengadakan program yang menarik minat golongan anak muda.

"Saya selalu sebut peranan dimainkan Alif Satar yang mengajak kempen solat Subuh seperti Jumaat dan saya bersama beliau dan bekas pemain ragbi New Zealand, Sonny Bill Williams di Masjid Putra, lebih 90 peratus jemaah hadir solat Subuh adalah golongan belia.

"Ini yang saya katakan JAKIM perlu adakan lebih banyak program dakwah yang boleh menarik minat golongan belia," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2024 (KBK 2024), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Datuk Selamat Paigo dan Mufti Melaka, Datuk Abd Halim Tawil.

Beliau diminta mengulas laporan kajian JAKIM yang mendapati generasi muda masa kini cenderung untuk tidak mengamalkan ajaran Islam secara menyeluruh kerana pelbagai faktor termasuk keliru dengan ideologi asing yang dibawa melalui pelbagai medium.

Mengulas lanjut Mohd Na'im berkata, kepelbagaian penggunaan media sosial penting dalam menyebarkan usaha dakwah kepada masyarakat khususnya golongan belia.

"Sebabnya ada golongan belia jarang pergi dengar ceramah di masjid, jadi dengan ada dakwah melalui media sosial dapat menggalakkan mereka lebih menghampiri kepada Allah SWT.

"Saya percaya ini bukan saja tanggungjawab JAKIM, malah semua ibu bapa perlu memainkan peranan dalam mendidik anak dengan ilmu agama di rumah," katanya.

Berita Harian X