Rabu, 6 March 2024 | 3:42pm
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah

DUN Kelantan lulus gubal semula 16 seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah

KOTA BHARU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan usul penggubalan semula 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang terbatal dan tidak sah untuk dikuatkuasakan di negeri itu.

Usul yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan pada 9 Februari lalu itu, dibacakan oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan dipersetujui oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk dua pembangkang.

Mohd Amar berkata, DUN Kelantan menggesa untuk dilakukan penggubalan semula peruntukan-peruntukan yang dibatalkan sebelum ini.

Menurutnya, DUN Kelantan yang bersidang turut berdukacita atas keputusan pembatalan 16 seksyen dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 itu.

Media sebelum ini melaporkan, Mahkamah Persekutuan hari ini mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan seorang peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.

Tengku Maimun dalam penghakiman panel berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Berita Harian X