Rabu, 6 March 2024 | 2:24pm
Armizan ketika berucap pada majlis Perasmian Kampung Fresh Market Sdn Bhd dan Sidang Media Pengumuman Perluasaan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 di Dengkil. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Armizan ketika berucap pada majlis Perasmian Kampung Fresh Market Sdn Bhd dan Sidang Media Pengumuman Perluasaan Projek Rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi 2.0 di Dengkil. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Projek Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi diperluas kepada kenderaan barangan mulai esok

DENGKIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperluaskan projek rintis Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 kepada sembilan jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan mulai esok.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kenderaan itu membabitkan lori kargo am, lori minuman botol, lori ais, lori luton, lori tangki, lori tangki air, van panel dan van 'window'.

Katanya, menerusi pelaksanaan projek rintis fasa kedua itu, syarikat yang terbabit dalam sektor pengangkutan darat barangan, boleh membuat permohonan bermula jam 9 pagi esok melalui mysubsidi.kpdn.gov.my (mysubsidi diesel).

"Alhamdulillah, selepas dua bulan, projek rintis dengan enam syarikat (sebelum ini) berjalan dengan baik, tiada isu besar, maka bermula esok, kita akan memperluaskan projek rintis fasa dua membabitkan sembilan jenis kenderaan dalam sektor pengangkutan darat barangan.

"Jadi, syarikat dalam sektor terbabit dan memiliki kenderaan seperti disenaraikan, dikehendaki membuat permohonan melalui mysubsidi diesel mulai esok sehingga 31 Mac ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kampung Fresh Market Sdn Bhd di sini, hari ini.

Armizan berkata, dengan pelaksanaan projek rintis terbabit, pihaknya menyasarkan penggunaan 'Fleet Card' di lima syarikat minyak ditetapkan iaitu Petronas, Shell, Petron, Caltex dan BHP mulai 1 April ini.

Sehubungan itu, beliau berharap syarikat yang memiliki sembilan jenis kenderaan terbabit dapat mengemukakan permohonan dengan segera menerusi sistem mysubsidi diesel.

"Sebenarnya, jika permohonan lengkap, kita ada sediakan FAQ, sekiranya lengkap, agak mudah sebenarnya jika syarat dipatuhi, kita boleh luluskan dalam satu atau dua hari.

"Sekiranya kelulusan diberikan melalui sistem mysubsidi diesel, di peringkat syarikat minyak, mereka maklumkan mereka boleh meluluskan dan menyerahkan Fleet Card itu dalam kadar dua ke empat minggu," katanya.

Ditanya anggaran kenderaan yang akan terbabit dalam pelaksanaan sistem itu, Armizan berkata, pihaknya sedang memuktamadkannya dengan Kementerian Pengangkutan.

"Sebab itu kita ingin bersedia awal dengan membuat projek rintis ini supaya kita dapat meminimumkan 'error' (kesilapan). Ini kerana apabila penyasaran subsidi diumumkan kerajaan kelak, kita sudah membuat persiapan awal.

"Seperti yang diumumkan Perdana Menteri, antara fokus penyasaran subsidi kerajaan tertumpu kepada diesel, ini kerana subsidi diesel pada 2023 sahaja, mencecah RM14.3 bilion yang terpaksa dibelanjakan kerajaan," katanya.

Projek rintis SKDS bertujuan menguji sistem mysubsidi diesel KPDN dan juga sistem Fleet Card syarikat minyak sebelum dilaksanakan kepada keseluruhan industri.

Berita Harian X