Rabu, 6 March 2024 | 12:48pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria. - Foto UPDA
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria. - Foto UPDA

Kedah bina empangan air bawah tanah di Langkawi pada 2028

ALOR SETAR: Penerokaan sumber air bawah tanah sebagai alternatif bagi mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di negeri ini tidak akan menyebabkan berlakunya mendapan seperti di Jakarta, Indonesia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air dan Alam Sekitar negeri, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria, berkata Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) sudah membuat kajian dan mengambil kira semua faktor berkenaan apabila sesebuah kawasan dikenal pasti untuk dibangunkan projek seumpamanya.

"Di Kedah agensi kerajaan sedang membuat kajian dan Insya-Allah akan dilaksanakan projek empangan air bawah tanah di Padang Mat Sirat, Langkawi, projek perintis ini menelan belanja sebanyak RM453 juta dengan kapasiti 50 juta liter padu air dapat dibekalkan.

"Projek ini dijangka akan dilaksanakan pada 2028...kawasan yang terbabit bukan membabitkan kawasan bangunan jadi kita percaya tidak timbul perkara ini (mendapan). Terima kasih atas keprihatinan, bagaimanapun pihak berkuasa sedang kaji secara terperinci untuk melaksanakan projek ini," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Dr Mohd Hayati Othman (PN-Tokai) mengenai risiko berlakunya mendapan seperti di Jakarja kerana banyak menggunakan sumber air bawah tanah selain pemanasan global menyebabkan ibu kota Indonesia itu bakal tenggelam.

Terdahulu, Hanif Ghazali (PN-Tanjung Dawai) turut bertanya mengenai perkembangan projek empangan air bawah tanah di Kedah.

Sementara itu, Mohamad Yusoff berkata, bagi memastikan bekalan air mentah mencukupi ketika cuaca panas berterusan di negeri ini, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) membuat kawalan pelepasan air dari empangan bagi menstabilkan operasi muka sauk loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman (SADA).

"Kedah mempunyai enam empangan utama yang membekalkan bekalan air mentah kepada sektor domestik, industri dan pertanian iaitu Empangan Pedu, Empangan Muda, Empangan Ahning, Empangan Beris, Empangan Bukit Malut dan Empangan Padang Saga dan setakat ini bekalan air masih stabil.

"LSANK juga memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Daya Guna Awam bagi cadangan pembangunan kolam takungan air pinggiran sungai (TAPS). Terdapat 27 tapak sudah dikenalpasti di Kedah yang berpontensi untuk dibangunkan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teh Swee Leong (PH-Kota Darulaman).

Swee Leong bertanyakan tindakan kerajaan negeri dalam memastikan sumber air mentah di Kedah mencukupi bagi berhadapan dengan cuaca panas yang berterusan.

Mohamad Yusoff berkata, bagaimanapun pembangunan bagi 27 tapak TAPS dengan keluasan keseluruhan lebih 1,558,960 meter persegi dan menampung air sebanyak 28.03 juta meter padu itu masih belum bermula tetapi telah diluluskan.

"Selain dari itu, bagi memastikan sumber air mencukupi, Bahagian Bekalan Air (BBA) telah mencadangkan untuk menaikitaraf Empangan Padang Saga, pembinaan TAPS Padang Saga dan pembinaan empangan bawah tanah di Langkawi," katanya.

Berita Harian X