Rabu, 6 March 2024 | 12:09pm

Kerugian akibat scam RM245 juta

KUALA LUMPUR : Dalam tempoh antara 12 Oktober 2022 sehingga 31 Januari lalu, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerima 71,631 panggilan berkaitan kes penipuan dalam talian membabitkan kerugian RM245 juta.

Daripada jumlah aduan itu, polis membuka 8,754 kertas siasatan bagi menyiasat berkaitan kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Sebanyak 64 kertas siasatan pula dibuka di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001

(AMLA) selain pembekuan sebanyak RM69 juta bagi tujuan siasatan kerana kesalahan pengubahan wang haram.

Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata penipuan pelaburan, skim ponzi dan atas talian dipantau oleh pelbagai agensi bergantung kepada elemen kesalahan berkenaan di bawah bidang kuasa masing-masing.

"Di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan, terdapat pelbagai langkah penguatkuasaan diambil Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC)," katanya menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mengesan dan mengenalpasti skim atau aliran wang haram membabitkan luar negara, BNM bekerjasama dengan pihak berkuasa asing yang menjalankan analisis jejakan kewangan atau siasatan ke atas sebarang jenayah penipuan dan skim kewangan haram yang dilakukan dalam negara mereka.

Selain itu, katanya kerjasama strategik pelbagai pihak di antara BNM, SC, agensi penguatkuasaan lain, institusi kewangan dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) bagi tindakan penguatkuasaan yang lebih cekap ke atas sindiket jenayah penipuan pelaburan melalui perkongsian maklumat dan aktiviti menjejak dan mengesan aliran wang haram.

"Penjenayah pengubahan wang haram bukan saja boleh dikenakan hukuman penjara, malah aset serta wang hasil yang diperolehi menerusi kegiatan haram juga boleh disita atau dilucuthakkan di bawah AMLA. Contohnya, pihak SC sudah mengambil tindakan menyita wang berjumlah RM116 juta (2021-2023).

"BNM juga sudah mengambil pelbagai langkah terhadap syarikat syarikat yang mendakwa memperoleh lesen dan kelulusan BNM termasuklah menyenarai di dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan serta mengambil tindakan undang-undang di atas penyalahgunaan nama BNM.

"Setakat 2023, 497 entiti sudah disenaraikan di bawah Senarai Amaran Pengguna Kewangan," katanya.

Berita Harian X