Selasa, 5 March 2024 | 2:46pm
Petugas keselamatan memberi rawatan kecemasan kepada Wan Muhammad Haikal selepas rebah terkena terkena tendangan pihak lawan. - Foto ihsan APM
Petugas keselamatan memberi rawatan kecemasan kepada Wan Muhammad Haikal selepas rebah terkena terkena tendangan pihak lawan. - Foto ihsan APM

Kerajaan Terengganu harap laporan kematian atlet SUKMA disiapkan segera

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri berharap laporan kematian membabitkan pesilat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu yang disahkan meninggal dunia kelmarin disiapkan segera.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, berkata ia bagi membolehkan pihaknya meneliti perkara itu secara menyeluruh sebaik menerima laporan daripada Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya masih menunggu laporan lengkap berhubung insiden itu.

"Penganjuran kejohanan di Negeri Sembilan, jadi kita perlu dapat maklumat daripada Persatuan Silat Negeri Terengganu dan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) untuk memaklumkan perkembangan kronologi kes.

"Dalam kes ini, kita tidak tahu bila diperoleh laporan itu, tetapi berharap dapat disiapkan dalam tempoh terdekat," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Dewan Komuniti Taman Coral Height, Seremban pada Sabtu lalu.

Difahamkan, Wan Muhammad Haikal, 21, rebah dan tidak sedarkan diri selepas terkena tendangan pihak lawan.

Dia disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi Ahad lalu ketika dirawat di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban kelmarin.

Berita Harian X