Selasa, 5 March 2024 | 12:49pm

Wan Saiful minta maaf sangka jahat Anwar dan kaitkan Agong, Zahid tarik usul gantung 6 bulan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan hari ini memohon maaf atas tindakannya yang mengeluarkan kenyataan berbaur sangkaan jahat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Permohonan maaf itu dibuat selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memberi ruang kepada wakil rakyat Perikatan nasional (PN) itu untuk memberikan penjelasan mengenai kenyataan yang dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu.

Ruang kepada Wan Saiful itu diberikan Johari sebelum satu usul oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dikemukakan untuk menggantung Ahli Parlimen berkenaan selama enam bulan kerana mendakwa Anwar sebagai pemimpin yang menyalahgunakan kuasa.

Wan Saiful ketika bangkit mengakui kenyataan dibuatnya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat pada 28 Februari lalu sememangnya ditujukan kepada Anwar.

"Ayat itu memang saya tujukan kepada Tambun (Anwar)... saya menarik balik ayat tersebut, saya menarik balik kenyataan saya dan saya juga memohon maaf atas kenyataan tersebut.

"Saya dengan rendah diri juga kerana seperti dalam usul ada sebut mengenai Yang di-Pertuan Agong atas segala kekhilafan sekiranya menyentuh perihal Yang di-Pertuan Agong dan saya juga memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut dan saya harap ia boleh dipertimbangkan dengan baik," katanya.

Sejurus itu, Johari memaklumkan menerima permohonan maaf terbabit sambil menasihatkan semua Ahli Parlimen supaya 'move on'.

"Ini bermaksud Yang Berhormat (Tasek Gelugor) sudah memohon maaf kepada Tambun (Anwar) dan menarik balik kenyataan itu. Yang Berhormat juga memohon ampun kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Untuk itu, saya terima dan menteri (Zahid), saya anggap kita boleh selesaikan masalah ini kerana permohonan maaf sudah dibuat. Ini episod yang sudah berlalu dan Ahli Parlimen kiri (blok pembangkang) dan kanan (blok kerajaan) perlu 'move' ke depan.

"Kita bincang masalah rakyat dengan tertib dan aman, akhirnya memberi natijah lebih baik. Jadi, kita tutup kes ini," katanya ketika mempengerusikan mesyuarat.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah kemudian bangkit Ahmad Zahid memaklumkan menarik semula usul berkenaan yang tersenarai dalam Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, Ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang bangun mencelah menghargai keputusan penarikan usul itu oleh kerajaan.

"Saya ambil kesempatan ini dengan ucapan terima kasih kepada Tan Sri Speaker atas tindakan yang bijaksana dan menyelesaikan isu ini dengan sebaik mungkin. Rakyat nampak Ahli Parlimen ini bertanggungjawab," katanya.

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang bangun selepas itu turut meminta tindakan dilakukan Wan Saiful dijadikan pengajaran dan iktibar.

Ketika perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja minggu lalu, Wan Saiful mendakwa Anwar sudah menyalahgunakan kuasanya.

Kenyataan Wan Saiful itu mencetuskan kekecohan dalam Dewan Rakyat sehingga memaksa pemimpin BERSATU itu menarik balik kenyataannya atas arahan Speaker.

Berita Harian X