Selasa, 5 March 2024 | 11:27am
Amirudin (tengah) melancarkan Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS) 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar.
Amirudin (tengah) melancarkan Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS) 2024 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar.

Dana Usahawan Madani Selangor diperluas, usahawan boleh dapat maksimum RM30,000

SHAH ALAM: Skop Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS) yang diperkenalkan oleh kerajaan negeri sejak 2015 diperluaskan dan terbuka kepada semua usahawan, bukan sahaja mikro tetapi juga perusahaan kecil, atau sederhana.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan kepada usahawan berbentuk geran yang majoritinya diberikan kepada industri makanan dan minuman (F&B) berdasarkan permohonan itu, kini dikembangkan kepada perusahaan merentasi sektor termasuk industri kreatif.

"Sejak 2015 sehingga tahun lalu sebanyak RM20.06 juta dibelanjakan untuk membantu seramai 1,029 pembangunan usahawan mikro.

"Selepas ini, program ini turut menyusur masuk ke dalam sektor industri kreatif yang memberikan peluang tanpa batasan kepada semua pemain industri yang baharu sahaja mahu berjinak dan berkembang dalam pasaran.

"Jumlah dana ini masih RM2 juta. Jumlah bantuan yang boleh diperoleh melalui DUMS adalah sehingga RM30,000.

"Dana ini dalam bentuk geran tetapi lebih kepada barangan (untuk perniagaan usahawan)," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Penjenamaan Semula Dana Usahawan Mikro Selangor Ke Dana Usahawan MADANI Selangor (DUMS) di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam di sini, semalam.

Beliau berkata, antara syarat bagi memohon dana berkenaan, perusahaan perlu beroperasi di Selangor selama sekurang-kurangnya dua tahun dan masih aktif menjalankan perniagaan.

"Jumlah pekerja sekurang-kurangnya dua orang, dan perniagaan mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat

Malaysia (SSM).

"Bagi had umur pemohon (usahawan) pula adalah dari 18 hingga 60 tahun," katanya.

Beliau berkata, DUMS yang diperkenalkan melalui Jawatankuasa Tetap Keusahawanan bertujuan meningkatkan daya Tahan, Daya saving dan daya maju perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

"DUMS juga bertujuan mengukuhkan perniagaan PMKS melalui peningkatan produktiviti (pengeluaran jualan dan pendapatan).

"DUMS menyokong keperluan pembangunan perniagaan/perusahaan dan penggunaan teknologi.

"DUMS membuka peluang kepada usahawan PMKS di Selangor untuk mempelbagai dan mengkomersialkan produk," katanya.

Berita Harian X