Selasa, 5 March 2024 | 10:17am
Kerajaan akan mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu yang sedang dirangka. - BERNAMA
Kerajaan akan mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu yang sedang dirangka. - BERNAMA

Kerajaan beri jaminan sistem saraan baharu tak akan rugikan penjawat awam

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan sistem saraan baharu yang akan diperkenal kelak tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu.

Malah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Zaliha Mustafa berkata, sistem baharu itu juga akan dipastikan mempunyai elemen yang dapat menarik bakat terbaik negara supaya berminat untuk masuk dan berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

"Keperluan pindaan kepada semua peruntukan undang-undang yang berkaitan bagi tujuan kaedah baharu lantikan tetap penjawat awam turut diperhalusi sewajarnya.

"Kaedah pelantikan yang sedang dirangka akan dipastikan tidak merugikan penjawat awam lantikan baharu," katanya melalui jawapan bertulis menjawab soalan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Parlimen

Azahari meminta kerajaan menyatakan apakah faktor utama pemansuhan skim pencen kepada kakitangan kerajaan lantikan baru dan adakah dengan pemansuhan skim pencen akan mengakibatkan pengurangan permohonan pekerjaan di dalam sektor kerajaan sekali gus memberi kesan kepada bidang kritikal.

Mengulas mengenai kajian sistem saraan baharu penjawat awam, Dr Zaliha berkata tanggungan pencen memberi implikasi kewangan semakin besar kepada kerajaan setiap tahun, lantas keputusan diambil untuk mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam melalui kaedah lantikan baharu yang sedang dirangka.

"Pada 2023, jumlah perbelanjaan pencen adalah RM32.01 bilion dan dijangka mencecah RM46.36 bilion pada 2030.

"Secara purata, unjuran kenaikan jumlah bayaran pencen adalah hampir RM2 bilion setahun dan akan semakin meningkat dari tahun ke tahun," katanya.

Kepada soalan Datuk Seri Dr Richard Riot Jaem (GPS-Serian), Dr Zaliha berkata anggota perkhidmatan awam yang telah dilantik secara tetap dan mendapat pemberian taraf berpencen akan terus kekal menerima faedah serta kemudahan skim pencen apabila bersara kelak.

Menjawab soalan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Induk Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (JIKSPA) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Februari lalu membincangkan dan menimbangkan inisiatif penambahbaikan dalam Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) terutamanya berkaitan dengan aspek meningkatkan pendapatan boleh guna penjawat awam.

"Penambahbaikan ini salah satu fokus dalam pemerkasaan modal insan perkhidmatan awam untuk memangkin peningkatan produktiviti penjawat awam bagi merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI.

"Cadangan penambahbaikan struktur gaji penjawat awam dijangka akan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selewat-lewatnya awal suku kedua tahun ini untuk kelulusan.

Dr Zaliha Mustafa.
Dr Zaliha Mustafa.

"Keputusan berkenaan struktur gaji baharu penjawat awam ini dijangka boleh diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 tahun ini," katanya.

Mengenai soalan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) berhubung jaminan kerajaan pemansuhan skim pencen terhadap perjawatan baharu penjawat awam tidak akan menjejaskan aspek pengambilan dan pengekalan kakitangan di sektor kritikal seperti keselamatan, kesihatan dan pendidikan, Dr Zaliha menjelaskan pegawai dilantik di bawah kaedah baharu tersebut akan turut berstatus 'pegawai awam' dan tertakluk semua perundangan dan peraturan berkaitan.

Justeru, katanya, pegawai terbabit akan menerima gaji, elaun dan kemudahan sama seperti dinikmati pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada.

"Ini termasuklah apa-apa elaun tetap seperti Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), serta elaun lain yang layak kepada skim perkhidmatan dan tugasan tertentu.

"Pelaksanaan kaedah baharu pelantikan tetap tidak akan menjejaskan aspek pengambilan dan pengekalan kakitangan dalam perkhidmatan awam dan akan dipastikan berupaya menarik bakat terbaik negara untuk berkhidmat termasuk dalam sektor-sektor kritikal seperti sektor keselamatan, kesihatan dan pendidikan," katanya.

Berita Harian X