Selasa, 5 March 2024 | 8:01am

Sultan Ibrahim penaung Wakaf Mara, dipersembah kepada Majlis Raja-raja 4 kali setahun

KUALA LUMPUR: Laporan kewangan dan perkembangan Wakaf Majlis Amanah Rakyat (MARA)MADANI (WMM) secara berkala sekurang-kurangnya empat kali setahun perlu dipersembah kepada Majlis Raja-Raja (MRR) menjadi antara cadangan akan diusulkan jawatankuasa khas bagi memperincikan pelaksanaan wakaf itu untuk dibentangkan kepada Perdana Menteri pada bulan depan.

Langkah itu wajar susulan Yang diPertuan Agong Sultan Ibrahim adalah penaung kepada WMM ini, sekali gus usaha itu membuktikan kutipan dana wakaf daripada orang ramai digunakan sebaiknya bagi membantu Bumiputera tanpa sebarang penyelewengan.

Selain itu, jawatankuasa khas yang dipengerusikan Ketua Pengarah MARA, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf itu juga akan mencadangkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WMM, manakala ahlinya pula membabitkan golongan profesional termasuk bekas Ketua Audit Negara dan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau sudah mengarahkan jawatankuasa khas menyiapkan kajian perincian berhubung pelaksanaan wakaf itu dalam tempoh sebulan sebelum cadangan itu dibawa kepada Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan kemudian dibentangkan kepada Perdana Menteri.

Beliau berkata, langkah mempersembah laporan audit kepada MRR secara tidak langsung akan memberi nilai tambah dan keyakinan bahawa wakaf ini dilaksanakan secara telus dan ditadbir urus dengan baik oleh mereka yang dipertanggungjawabkan.

"WMM ini perlu ada tatakelola yang baik, ditadbir urus Lembaga Pemegang Amanah dilantik dengan memfokuskan mandat diberi supaya mendapat keyakinan dan kepercayaan daripada orang ramai.

"Tadbir urus yang baik itu memberi ketelusan untuk orang ramai mengetahui jumlah dana dikumpul dan ke mana ia disalurkan. Dunia hari ini terbuka dan kita tidak boleh buat kerja secara senyap, sebaliknya perlu terbuka supaya masyarakat tahu wang wakaf disumbangkan itu dimanfaatkan secara optimum dan berimpak," katanya kepada BH, semalam.

Pada majlis Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 Sabtu lalu, kerajaan bersetuju menubuhkan WMM dalam usaha memastikan keterjaminan pendidikan, kebajikan, kesihatan dan keusahawanan bagi golongan Bumiputera.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan geran peluncuran sebanyak RM100 juta dengan sasaran dana terkumpul minimum RM1 bilion dalam tempoh dua tahun.

Asyraf Wajdi berkata, beliau optimis dengan kejayaan WMM itu sekiranya disokong oleh 2.5 juta alumni MARA dan usahawan yang pernah mendapat bantuan daripada agensi ini dan berhasrat menyumbang semula kepada masyarakat memerlukan.

Beliau berkata, jumlah sumbangan wakaf tidak ditetapkan atau dihadkan dan segala perincian mengenainya akan disediakan jawatankuasa yang sedang menelitinya sebelum diputuskan Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri untuk diangkat kepada Anwar.

Asyraf Wajdi menafikan ada keretakan dalam kalangan pemimpin BN dan PH. - Foto BH/HAIRUL ANUAR RAHIM
Asyraf Wajdi menafikan ada keretakan dalam kalangan pemimpin BN dan PH. - Foto BH/HAIRUL ANUAR RAHIM

Katanya, pelaksanaan WMM akan menggunakan konsep 'berkongsi pahala' dan sumbangan wakaf ini juga boleh dibuat golongan bukan Islam.

"Kerajaan sudah beri komitmen untuk dana awal sebanyak RM100 juta dan ia akan diuruskan sebaiknya oleh MARA melalui cabang pelaburannya bagi memastikan nilai pokok itu tidak akan hilang.

"Jika kita dapat menggemblengkan sumbangan secara bersama pada peringkat awal ini dengan pembabitan alumni MARA dan usahawan yang sudah berjaya, atau individu terkemuka yang pernah mendapat bantuan MARA, saya yakin dana disasarkan RM1 bilion itu akan dicapai seperti ditetapkan," katanya.

Lancar pertengahan tahun

Asyraf Wajdi berkata, pihaknya merancang melancarkan WMM itu pada pertengahan tahun ini dan manfaat daripada skim itu dapat diberi kepada penerimanya pada tahun depan.

Beliau berkata, antara lain, pelaksanaan WMM akan membolehkan MARA memberi pendidikan percuma kepada semua pelajar di institusinya, termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Sebab itu paling penting ialah masyarakat yakin untuk membuat sumbangan wakaf apabila mengetahui ia digunakan untuk membantu golongan memerlukan.

"Selain bidang pendidikan, WMM ini juga akan digunakan bagi membantu dana usahawan, kebajikan dan kesihatan kerana masih ramai golongan Bumiputera memerlukan bantuan tanpa syarat yang menyusahkan," katanya.

Asyraf Wajdi berkata, sudah tiba masanya wakaf yang menjadi legasi ekonomi Islam yang pernah menjadi instrumen penting dalam pembangunan tamadun Islam suatu ketika dulu disuburkan kembali dan kesedaran mengenainya perlu dipupuk secara meluas.

"Kita tidak boleh bersifat individualistik, tetapi bersolidariti untuk pihak yang tidak berkemampuan kerana dalam konteks Islam, tidak ada orang yang terpinggir," katanya.

 (BH Eksklusif) Temubual Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi mengenai Dana Wakaf MARA di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
(BH Eksklusif) Temubual Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi mengenai Dana Wakaf MARA di Kuala Lumpur. - Foto NSTP/HAIRUL ANUAR RAHIM
Berita Harian X