Isnin, 4 March 2024 | 11:56pm
(Gambar fail) Attar Azim tidak dapat menahan sebak pada majlis pengebumian ahli keluarganya, semalam. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
(Gambar fail) Attar Azim tidak dapat menahan sebak pada majlis pengebumian ahli keluarganya, semalam. - NSTP/MUHAMAD LOKMAN KHAIRI

Bapa saudara galas tanggungjawab jaga Attar Azim

IPOH: Bapa saudara kepada Attar Azim Syukran Jamil, akan menggalas tanggungjawab untuk menjaga anak yatim piatu itu yang kehilangan empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya dalam kemalangan di Kilometer (KM) 76.5 Jalan Kota Bharu-Gua Musang dekat Kampung Pahi di Kuala Krai, Kelantan, Sabtu lalu.

Nor Azam Ab Hamid, 45, berkata amanah menjaga kanak-kanak berusia sembilan tahun itu yang merupakan anak kepada arwah adiknya, Syukran Jamil Ab Hamid, 35, akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Nor Azam adalah anak keempat, manakala Syukran Jamil pula anak kelapan daripada sembilan adik-beradik.

"Setelah berbincang, keluarga kami di (FELDA) Trolak yang akan menjaga Attar," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, berkata pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri akan memberi bantuan sewajarnya kepada Attar Azim.

Beliau berkata, pihak JKM telah mengadakan kunjungan ke rumah waris keluarga Attar Azim di FELDA Trolak Utara, Sungkai, hari ini.

"Kebiasaannya, kita akan memberi bantuan kanak-kanak... sekiranya waris tiada untuk menjaganya, kita akan tempatkan di rumah perlindungan. Insya-Allah, kita akan bantu mengusahakan bantuan kanak-kanak untuk adik Attar Azim," katanya.

Semalam, jenazah Syukran Jamil dan isterinya, Noor Aishah Razali, 35, bersama dua anak mereka, Ahya Rafiqi, 6, serta Lufya Adeena, 1, selamat dikebumikan di dalam satu liang lahad kira-kira jam 11 malam.

Dalam nahas kira-kira 1.40 tengah hari Sabtu lalu, Syukran Jamil bersama Noor Aishah dan Lufya Adeena disahkan maut di lokasi kejadian, manakala Ahya Rafiqi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital. Bagaimanapun, Attar Azim terselamat dengan hanya mengalami kecederaan.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu Syukran Jamil dari arah Kota Bharu menghala ke Gua Musang, bertembung dengan sebuah Nissan March dipandu warga Thailand yang masuk ke laluan dari arah bertentangan.

Lima sekeluarga itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas menziarahi ahli keluarga dan bercuti di Kota Bharu, Kelantan. – BERNAMA

Berita Harian X