Isnin, 4 March 2024 | 6:17pm
Azam (kiri) dan Wan Saiful
Azam (kiri) dan Wan Saiful

Wan Saiful ada tempoh hingga hujung minggu lapor dakwaan cuba disogok

SEREMBAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tempoh sehingga hujung minggu ini kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk tampil ke SPRM bagi membuat laporan berhubung dakwaan beliau disogok untuk menyokong Perdana Menteri.

Beliau membuat dakwaan itu dalam sidang Dewan Rakyat baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, sekiranya Wan Saiful tidak berbuat demikian, pihaknya akan mengambil satu tindakan terhadapnya namun tidak mendedahkan tindakan itu.

"Setakat sekarang yang saya rujuk kepada Ibu Pejabat SPRM dan pegawai saya, beliau (Wan Saiful) belum lagi datang ke SPRM untuk buat aduan atau laporan seperti mana yang beliau timbulkan di Dewan Rakyat.

"Jadi kita akan panggil beliau dalam tempoh minggu hadapan sekiranya dalam minggu ini beliau masih belum datang ke SPRM untuk buat laporan. Saya akan bagi arahan kepada pegawai saya untuk satu tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Bicara Eksekutif Anti Rasuah Kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan Yang ke-15, di Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Jelas Azam, seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, Ahli Parlimen itu sepatutnya membuat laporan ke SPRM berikutan kenyataan itu mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan bukannya menunggu SPRM memanggilnya.

"Ini bukan masalah kami kena pergi cari beliau. Beliaulah kena datang ke pejabat SPRM atau mana-mana balai polis terdekat (buat aduan).

"Tak kanlah saya nak pergi jumpa beliau pula atau nak ambil beliau di rumah dan nak bawanya ke pejabat. Begitulah kaedah dan analoginya," katanya.

Sebelum ini Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, ketika sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat mendakwa diugut serta ditawarkan imbuhan supaya menyatakan sokongan kepada Anwar.

Tanpa menamakan mana-mana pihak, beliau mendakwa ditawarkan habuan sebagai balasan antaranya peruntukan wakil rakyat bernilai RM1.7 juta serta pengguguran pertuduhan kes di mahkamah.

Dalam perkembangan lain, Azam memberitahu setakat ini tiada mana-mana laporan terhadap ADUN Negeri Sembilan yang didakwa terpalit dengan isu penyelewengan atau rasuah.

Berita Harian X