Isnin, 4 March 2024 | 5:56pm
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Takkanlah nak lantik Pengarah MOTAC negeri pun sampai bertahun-tahun - Mas Ermieyati

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, membangkitkan kebimbangan mengenai dakwaan penggantian pengarah luar negara semasa dalam Tourism Malaysia dengan calon asing.

Beliau mendakwa Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Tiong King Sing, bercadang untuk mengambil individu asing secara kontrak, dengan menyatakan prestasi yang kurang memuaskan sebagai punca perubahan itu.

Justeru, beliau berkata kerajaan perlu mewajarkan penunjuk prestasi rendah dalam kementerian.

"Saya mendapat maklumat bahawa Menteri Pelancongan sedang giat melantik calon asing bagi mengisi jawatan pengarah pelancongan luar negara.

"Langkah ini disokong dakwaan prestasi pegawai semasa yang tidak mencukupi.

"Ini menguatkan lagi justifikasi serupa yang digunakan dalam penggantian Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Ammar Abd Ghapar baru-baru ini.

"Apakah indikator untuk mewajarkan perkara ini," katanya ketika membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati yang turut menerajui portfolio Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam kabinet bayangan Perikatan Nasional (PN) memohon penjelasan kerajaan sama ada jawatan dalam Lembaga pengarah Tourism Malaysia telah diisi.

"Adakah semua lembaga pengarah Tourism Malaysia telah dilantik dan berapakah komposisi mengikut kepakaran dan bidang?

"Rakyat juga nak tahu Ahli Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dilantik berlatarbelakangkan apa," katanya.

Lebih menyedihkan, beliau membangkitkan mengenai jawatan Pengarah MOTAC Labuan yang dikatakannya sudah tiga tahun tidak diisi, manakala untuk Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan pula masing-masing sudah setahun tak diisi.

"Kedah lebih-lebih lagi tahun depan nak berdepan Tahun Melawat Kedah, takkanlah nak lantik Pengarah MOTAC negeri pun sampai bertahun-tahun," katanya.

Berita Harian X