Isnin, 4 March 2024 | 2:06pm
Mohamed Amin Ouradji, juga dikenali sebagai Mawla Amin, yang mengaku kononnya bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.
Mohamed Amin Ouradji, juga dikenali sebagai Mawla Amin, yang mengaku kononnya bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad.

Polis Kelantan pantau kegiatan Mawla Amin

KOTA BHARU: Polis Kelantan memantau dan membuat risikan berhubung kegiatan seorang lelaki yang dikenali dalam kalangan pengikutnya sebagai Mawla Mohamed Amin al-Hassani atau Mawla Amin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, bagaimanapun berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan polis berhubung kegiatan individu yang mengaku berada dalam jalur keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW itu.

"Untuk di Kelantan setakat ini kita tidak menerima sebarang laporan, namun kita tetap pantau dan menjalankan risikan.

"Pada masa sama, kita turut membantu kontinjen lain sekiranya terdapat laporan mengenai perkara itu termasuk merakam percakapan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Kerajaan Maghribi mengesahkan Mawla Amin atau nama sebenarnya, Mohamed Amin Ouradji, yang mengaku bahawa mempunyai jalur keturunan ke-38 daripada Nabi Muhammad, bukan warga negara itu.

Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan Dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Daud berkata, pihaknya turut memantau berhubung kegiatan lelaki berkenaan.

"Setakat ini kita tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu di Kelantan," katanya.

Berita Harian X