Isnin, 4 March 2024 | 12:52pm
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Program naturalisasi pemain untuk isi skuad kebangsaan masih dihentikan - Adam Adli

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengesahkan program naturalisasi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk skuad kebangsaan masih digantung buat masa ini.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim, berkata bagaimanapun kelab bola sepak di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) masih boleh meneruskan program itu dengan mematuhi langkah serta prosedur yang digariskan kerajaan.

Mengulas kebaikan program itu, beliau mengakui kehadiran pemain naturalisasi mewujudkan saingan kepada pemain tempatan terutama untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pasukan kebangsaan.

"Kehadiran mereka telah menyumbang kepada peningkatan dalam kualiti bola sepak Malaysia, seperti yang dibuktikan oleh kenaikan ranking FIFA Harimau Malaysia baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Jimmy Puah (PH-Tebrau) sama ada program naturalisasi akan diteruskan, selain usaha kerajaan untuk meningkatkan kualiti sukan bola sepak negara.

Jun lalu, FAM mengesahkan program naturalisasi pemain bola sepak profesional yang diperkenalkan pada 2018 dihentikan bagi memberi peluang kepada pemain tempatan membarisi skuad kebangsaan.

Bagaimanapun FAM tidak sesekali menghalang kelab ataupun negeri untuk meneruskan program naturalisasi ini kerana itu adalah hak setiap pihak pengurusan berkenaan.

Terdahulu, Adam Adli memaklumkan empat pemain naturalisasi dan tujuh pemain warisan yang mempunyai perlaian dengan warga Malaysia menyertai skuad kebangsaan dalam saingan Piala Asia.

Dalam pada itu, Adam Adli memaklumkan KBS akan meneruskan Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) yang dimulakan pada 2014, dalam usaha meningkatkan prestasi bola sepak negara.

NFDP di bawah Majlis Sukan Negara (MSN) menyasarkan remaja lelaki berusia tujuh hingga 17 tahun untuk mengembangkan bakat baharu pada masa hadapan.

"Program ini merupakan pelan strategik jangka panjang yang menggariskan sembilan inisiatif bertujuan memupuk generasi baharu pemain bola sepak Malaysia yang boleh bersaing di peringkat antarabangsa, dengan matlamat layak ke Piala Dunia.

"Program itu melibatkan 16,228 pemain dan 767 jurulatih dari pelbagai akademi akar umbi, pusat latihan daerah, sekolah sukan negeri, dan sekolah sukan kebangsaan," katanya.

Berita Harian X