Isnin, 4 March 2024 | 12:35pm
Borhan (kiri) menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR
Borhan (kiri) menjawab soalan pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor di Wisma Dewan Undangan Negeri Selangor, Shah Alam hari ini. - Foto NSTP/FAIZ ANUAR

Selangor lancar 60,843 Rumah Selangorku, 37,008 siap bina tahun ini

SHAH ALAM: Sebanyak 60,843 unit Rumah Selangorku sudah dilancarkan sehingga 31 Januari lalu, kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, 37,008 unit siap dibina dan diserahkan kunci kepada pembeli, manakala baki 23,835 unit lagi masih dalam pembinaan.

"Berdasarkan Belanjawan Selangor 2024, kerajaan negeri menetapkan 200,000 unit akan dibina menjelang tahun 2029.

"Pada tahun ini, kerajaan negeri menyasarkan 5,997 unit lagi akan siap dibina, manakala 17,229 unit rumah akan memulakan pembinaan di lapangan. Bagi mencapai sasaran itu, pembinaan Kediaman Komersial seperti Pangsapuri Perkhidmatan Mampu Milik akan diambil kira," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di Wisma DUN Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan R Rajiv (PH-Bukit Gasing) berhubung status pembinaan 200,000 unit Rumah Selangorku yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya lalu.

Borhan berkata, sehingga kini sebanyak 12,834 unit sedang dalam pembinaan dan 4,891 unit lagi masih di peringkat perancangan.

"Secara keseluruhan, kerajaan negeri menjangkakan kira-kira 20 peratus Perumahan Harga Kawalan ditawarkan kepada orang awam untuk tempoh tahun 2024 sahaja," katanya.

Berita Harian X