Isnin, 4 March 2024 | 12:18pm
Petugas keselamatan memberi rawatan kecemasan kepada Wan Muhammad Haikal selepas rebah terkena terkena tendangan pihak lawan. - Foto APM
Petugas keselamatan memberi rawatan kecemasan kepada Wan Muhammad Haikal selepas rebah terkena terkena tendangan pihak lawan. - Foto APM

Kematian pesilat Terengganu: KBS tunggu laporan siasatan PESAKA

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang menunggu laporan siasatan daripada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) mengenai kematian atlet silat Terengganu ketika menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Negeri Sembilan, kelmarin.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abd Halim, berkata kes kematian atlet berkenaan, Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, yang rebah dan meninggal dunia ketika menyertai temasya sukan itu perlu dilihat secara serius.

"Pertama sekali, kami di KBS mengucapkan takziah dan merakamkan rasa simpati (atas insiden menimpa Allahyarham Wan Muhammad Haikal).

"Kita dalam peringkat awal menunggu siasatan daripada PESAKA sebagai pihak penganjur. Buat masa ini, KBS tidak meletakkan kesalahan kepada mana-mana pihak," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu apakah usaha KBS dalam memastikan kejadian menimpa pesilat Terengganu itu tidak berulang pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Wan Muhammad Haikal yang rebah dan tidak sedarkan diri sebaik terjatuh ketika pertandingan prapemilihan SUKMA kelmarin disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban,

Dalam pada itu, Adam Adli berkata KBS akan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) penganjuran acara sukan terutama yang berisiko tinggi bagi mengelakkan insiden tidak diingini, khususnya berkaitan nyawa dan keselamatan atlet.

"Bagi memastikan insiden sebegini tak berulang, pihak kementerian akan pastikan penganjur mematuhi SOP (ditetapkan). Ini perlu diselaraskan bersama Pesuruhjaya Sukan dan kita juga telah melancarkan Kod Sukan Selamat, yang merangkumi kebertanggungjawaban di pihak penganjur untuk pastikan pematuhan SOP, penyediaan ruang selamat dan pastikan pelbagai risiko dapat ditangani sebaiknya," katanya.

Adam Adli juga berkata, kerjasama erat KBS dengan Majlis Sukan Negara (MSN) di peringkat negeri akan diperkukuh bagi memastikan setiap SOP berkaitan dengan penganjuran sukan berisiko tinggi diperketatkan.

Beliau turut menegaskan, KBS melihat pengurusan SOP yang lebih ketat sebagai langkah bagi mengelakkan insiden kematian di gelanggang sukan dengan memastikan persediaan rapi terutama isu keselamatan diberi perhatian dalam tempoh peringkat awal proses penganjuran acara.

Berita Harian X