Isnin, 4 March 2024 | 12:16pm
Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah
Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah

Sultan Kedah titah semak semula struktur Mahkamah Syariah

Oleh Noorazura Abdul Rahman

[email protected]

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan kerajaan menyemak semula struktur Mahkamah Syariah seperti sistem hierarkinya supaya memberi lebih ruang keadilan kepada pihak terbabit.

Baginda bertitah, kerajaan juga perlu menambah baik kedudukan jawatan Hakim Mahkamah Syariah supaya setanding dengan sistem yang diguna pakai di Mahkamah Sivil.

Baginda juga mahu Mahkamah Syariah menjadi sebuah institusi yang penting sesuai dengan kedudukan Islam di negeri ini.

"Selain aspek pembangunan dan fiskal, beta ingin memberi penekanan kepada aspek kehakiman negeri iaitu institusi Mahkamah Syariah.

"Sebagai langkah pemerkasaan, penubuhan Mahkamah Syariah hendaklah diletakkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kedah sebagaimana Mahkamah Sivil disebut dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda.

Sultan Sallehuddin bertitah demikian sempena Istiadat Perasmian Pembukaan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di sini, hari ini.

Turut berangkat, Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Sultan Sallehuddin bertitah, Mahkamah Syariah adalah obor keadilan agama Islam yang juga agama rasmi negeri ini.

Oleh itu, baginda mahu usaha-usaha pemerkasaan itu dapat disegerakan demi memartabatkan ketinggian institusi Mahkamah Syariah di negeri Kedah.

"Beta berpendapat tiada siapa yang akan lebih membela nasib negeri ini melainkan rakyat negeri ini sendiri.

"Pembentukan jiwa rakyat yang cintakan negeri haruslah dipupuk supaya rakyat tanpa mengira kaum yang menyandang jawatan penting tidak melupakan negeri yang menjadi tanah tumpah darahnya," titah baginda.

Sementara itu, Sultan Kedah mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memahami peranan hakiki sebagai penggubal undang-undang supaya tidak menyimpang daripada matlamat asal.

"Kuasa Dewan ini dalam menggubal undang-undang meliputi perkara yang termaktub dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai tambahan menurut Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan, Dewan juga berkuasa menggubal undang-undang bagi perkara yang tidak dinyatakan secara satu persatu bawah mana-mana senarai dalam Jadual Kesembilan.

"Untuk menjadi seorang penggubal undang-undang berwibawa, semua Ahli Dewan harus turun padang menyelami masalah rakyat dan terbuka mendengar pandangan semua pihak," titah baginda.

Media sebelum ini melaporkan, tujuh seksyen yang termaktub di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati menyamai atau hampir menyamai Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan.

Antaranya berkaitan kesalahan liwat; perbuatan sumbang mahram; penyalahgunaan tanda halal; minuman yang memabukkan serta memusnahkan atau mencemarkan masjid, surau dan sebagainya.

Selain itu, kesalahan berkaitan pelacuran di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 didapati turut menyamai Seksyen 43, Seksyen 44 dan Seksyen 45 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan.

Bagi kesalahan liwat mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014, mana-mana lelaki yang melakukan perbuatan itu boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu jika sabit kesalahan.

Susulan itu, kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa dianggotai Penasihat Undang-undang Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri serta beberapa pihak lain dalam usaha mengukuhkan undang-undang syariah negeri berkenaan.

Berita Harian X