Isnin, 4 March 2024 | 12:03pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Konflik mahkamah sivil, syariah: Sedia pinda Perlembagaan Persekutuan jika disyorkan jawatankuasa khas - Mohd Na'im

KUALA LUMPUR : Kerajaan sedia melaksanakan pindaan segera terhadap beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi mengelak konflik berterusan antara bidang kuasa di mahkamah sivil dan mahkamah syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata jika Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Dengan Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan mengesyorkan pindaan itu, selepas mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, kerajaan sedia mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pindaannya di Parlimen.

"Sekiranya syor dan kajian (jawatankuasa) itu membawa kepada keperluan untuk pindaan dibuat kepada mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, dalam konteks ini dan apabila proses pengesyoran itu dibawa ke Majlis Raja-Raja dan dapat perkenan dan kemudian dibawa ke Kabinet.

"Kalau itulah yang menjadi penghalang kepada usaha untuk memperkasa mahkamah syariah dan bagi mengelak sebarang bentuk konflik berlaku di antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, sudah tentu Kabinet akan mempertimbangkan dan terus bawa ke Parlimen untuk syor berkaitan pindaan.

"Apa yang penting, kita yakin dengan adanya konflik antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah, pertikaian ini akan terus berlaku dan ia perlu diselesaikan dengan seberapa segera," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (PN-Pokok Sena), Mohd Na'im berkata, jawatankuasa ditubuhkan itu sedang melaksanakan kajian mengenai isu konflik bidang kuasa antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil secara menyeluruh dan tidak hanya memberi fokus kepada isu kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam saja.

Bagi memastikan kajian yang komprehensif dibuat, katanya, semua isu melibatkan konflik bidang kuasa antara mahkamah syariah dengan mahkamah sivil sedang diteliti dan dikaji dengan terperinci.

"Jawatankuasa khas juga sudah merancang untuk mengadakan sesi libat urus dengan pihak-pihak berkepentingan termasuklah ketua hakim syarie di negeri-negeri, mufti di negeri-negeri, majlis agama Islam negeri-negeri, wakil daripada institusi-institusi Islam, mantan hakim dan beberapa individu serta pihak-pihak lain mengikut keperluan dan kesesuaian untuk memberi input, pandangan dan cadangan kepada Jawatankuasa Khas terhadap isu yang dibincangkan.

"Pendekatan sedemikian secara tidak langsung dapat membantu Jawatankuasa Khas untuk melihat semua aspek yang berkaitan secara holistik sama ada daripada aspek perundangan sivil dan syariah termasuklah hukum syarak," katanya.

Beliau percaya, jawatankuasa ini dapat membantu untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dan harmoni bagi menyelesaikan isu-isu yang berbangkit berhubung dengan kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Berita Harian X