Isnin, 4 March 2024 | 11:03am
Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas, Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. - Foto ihsan pembaca
Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas, Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. - Foto ihsan pembaca

Sisa balak hanyut di Sungai Rajang bahayakan bot kecil

KUCHING: Sisa balak yang hanyut di Sungai Rajang di sini, sejak kelmarin didapati memasuki Sungai Igan hari ini.

Keadaan itu menyukarkan perjalanan bot kecil, termasuk perkhidmatan bot laju yang membawa penumpang dari Dalat ke Sibu dan sebaliknya.

Seorang pengguna pengangkutan sungai di Sibu berkata, sisa balak berkenaan didapati memenuhi Sungai Igan di lokasi berdekatan Rantau Panjang di Sibu pada jam 9 pagi tadi.

Katanya, berikutan itu banyak bot kecil terpaksa menghentikan perjalanan kerana bimbangkan keselamatan.

Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas, Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. - Foto ihsan pembaca
Sisa balak yang dipercayai hanyut dari Katibas, Kapit sebelum memasuki Sungai Rajang didapati hanyut di Sungai Igan hari ini. - Foto ihsan pembaca

"Keadaan itu amat berbahaya bagi bot kecil, ia bukan sahaja boleh merosakkan enjin malah boleh menyebabkan bot terbalik," katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Jam.

Semalam, sisa balak terbabit yang dipercayai dari Sungai Katibas dilihat hanyut di Sungai Rajang dan melalui Pekan Song dalam bahagian Kapit.

Ia dipercayai berpunca akibat hujan lebat berterusan yang berlaku di kawasan pedalaman Hulu Rajang, Sabtu lalu.

Longgokan sisa balak hanyut yang luar biasa jumlahnya pernah menggemparkan Sarawak pada 2010 sehingga digelar 'tsunami balak'.

Ketika itu, sisa balak dikenal pasti hanyut selepas hujan lebat dari hulu Sungai Melatai di Sungai Baleh susulan kerja pembalakan tanpa kawalan.

Pada tahun 2021, kejadian sama berulang lagi apabila sisa balak dari hulu Baleh dalam bahagian Kapit sekali lagi memenuhi Sungai Rajang.

Kejadian sisa balak hanyut bukan sahaja menjejaskan penduduk yang menjadikan sungai sebagai jalan perhubungan, tetapi turut menjejaskan ekosistem sungai apabila pelbagai spesies hidupan sungai terancam.

Berita Harian X