Ahad, 3 March 2024 | 10:48pm
Jenazah Wan Muhammad Haikal dibawa balik dari Seremban ke Kuala Terengganu untuk dikebumikan
Jenazah Wan Muhammad Haikal dibawa balik dari Seremban ke Kuala Terengganu untuk dikebumikan

Jenazah atlet silat SUKMA Terengganu dikebumikan malam ini

BESUT: Jenazah atlet silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu selamat dikebumikan malam ini.

Wan Muhammad Haikal Wan Hussin, 21, yang rebah dan meninggal dunia ketika menyertai SUKMA di Negeri Sembilan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Selising di sini kira-kira jam 10 malam.

Terdahulu, jenazah anak keempat daripada lima beradik itu tiba di rumah keluarganya pada jam 8.53 malam.

Jenazah pesilat itu kemudian dibawa ke Masjid Al-Huda untuk disembahyangkan.

Lebih 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan dan penduduk kampung hadir bagi mengiringi jenazah Wan Muhammad Haikal.

Wan Muhammad Haikal meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, selepas tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika pertandingan prapemilihan SUKMA.

Difahamkan, Allahyarham rebah selepas terkena tendangan lawan sebelum disahkan meninggal dunia jam 1.20 pagi ini.

Berita Harian X