Ahad, 3 March 2024 | 9:54pm
Wan Hussin Wan Ishak - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Wan Hussin Wan Ishak - Foto NSTP/ZATUL IFFAH ZOLKIPLY

'Saya tak salahkan mana-mana pihak, kejadian berlaku di luar kawalan' - Bapa Haikal

BESUT: "Saya mula tidak sedap hati dan merasakan sesuatu dengan keadaan anak apabila menerima panggilan berulang kali daripada doktor ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di Seremban. Namun, saya kuatkan hati dan tidak mahu mengikut perasaan kerana enggan isteri panik."

Demikian dikongsikan Wan Hussin Wan Ishak, 61, yang juga bapa kepada atlet silat Sukan Malaysia (SUKMA) Terengganu, Wan Muhammad Haikal, 21, yang meninggal dunia awal pagi tadi selepas rebah ketika menyertai pertandingan di Sikamat, Negeri Sembilan, semalam.

Anak keempat daripada lima beradik itu disahkan meninggal dunia pada jam 1.20 pagi tadi ketika dirawat di HTJ.

Wan Hussin berkata, beliau bersama isteri, Hamsah Omar, 52, bertolak ke Seremban kira-kira jam 11.30 malam sebelum tiba di hospital berkenaan pada jam 5 pagi tadi.

Sepanjang perjalanan terbabit, beliau berkata, mereka tidak putus-putus berdoa dan berharap ada 'keajaiban' walaupun hati tidak tenteram apabila terlalu kerap menerima panggilan daripada pihak hospital ketika itu.

"Sebagai bapa, mesti berasa bimbang tetapi disebabkan saya pergi bersama isteri dan kalau saya mengikut perasan, takut dia akan lebih lagi. Oleh itu, saya perlu kuat serta tidak terlalu melayan perasaan.

"Akhirnya, perasaan tidak sedap hati itu terjawab apabila dimaklumkan anak sudah tiada. Memang sedih tetapi kita reda sebab tahu semua orang akan pergi 'ke sana' dan juga sudah sampai ajalnya," katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Alor Selising, di sini, hari ini.

Menceritakan lanjut, Wan Hussin berkata, kali terakhir beliau bertemu anaknya itu ialah pada awal Januari lalu.

Beliau berkata, arwah ada memaklumkan akan balik ke kampung selepas pertandingan berkenaan, namun tidak disangka hanya jasad anaknya itu yang pulang.

"Saya tidak salahkan mana-mana pihak, dan reda dengan kejadian menimpa kerana ia berlaku di luar kawalan," katanya.

Jenazah Wan Muhammad Haikal dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Alor Selising, di sini, selepas solat isyak.

Berita Harian X