Ahad, 3 March 2024 | 8:27pm
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.
Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir.

KWSP agih pendapatan tertinggi RM57.81 bilion

Shah Alam: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 2023 sebanyak 5.50 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.40 peratus bagi Simpanan Shariah dengan jumlah agihan pendapatan tertinggi sebanyak RM57.81 bilion.

Agihan dividen itu akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari sektor formal dan tidak formal.

Bagi tahun berakhir 31 Disember 2023, pengurus dana persaraan itu mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022 selepas mengambil kira turun nilai kos ke atas ekuiti tersenarai bagi tahun berkenaan.

Aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1,135.82 bilion, meningkat 13 peratus berbanding RM1,002.67 bilion pada 2022.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir, berkata peningkatan itu merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022.

"Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan.

"Walaupun berhadapan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.

"Ini memberikan pelabur institusi seperti KWSP untuk menguruskan kepelbagaian portfolionya secara aktif dan merebut peluang untuk meningkatkan pulangan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi Simpanan Konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk Simpanan Shariah pada asas tiga tahun (2021 hingga 2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya dua peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.

Katanya, sebagai dana persaraan, adalah penting bagi KWSP untuk memberikan pulangan jangka panjang melebihi inflasi secara konsisten bagi memelihara dan meningkatkan nilai simpanan ahli.

Tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara ASEAN berbanding pasaran maju.

Ahmad Badri berkata, ketidaktentuan pasaran pada 2023 menekankan kepentingan KWSP mempunyai strategi pelaburan yang teguh dan pengurusan risiko yang berhemat.

Tambahnya, gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkannya mencapai keputusan yang baik untuk 2023.

Aset ekuiti RM39.05 bilion

Prestasi portfolio pelaburan KWSP pada 2023 memperlihatkan kelas aset ekuiti menyumbang RM39.05 bilion selepas turun nilai kos bersih, sekali gus menyumbang 58 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP dengan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 8.68 peratus.

Pelaburan ekuiti persendirian menjana ROI sebanyak 9.69 peratus, sementara instrumen pendapatan tetap, sebahagian besarnya Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), terus menjadi asas dalam mengekalkan pulangan pelaburan yang stabil dengan menyumbang RM19.74 bilion atau 30 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP, menghasilkan ROI 4.41 peratus.

Hartanah dan infrastruktur mencatatkan pendapatan RM6.03 bilion, lapan peratus lebih tinggi berbanding pendapatan 2022 sebanyak RM5.60 bilion, mencatatkan ROI sebanyak 5.04 peratus.

Pendapatan daripada instrumen pasaran wang pula mencecah RM2.17 bilion, lebih sekali ganda daripada pendapatan yang dijana pada 2022, disebabkan oleh baki pasaran wang yang lebih tinggi dan keuntungan pertukaran asing seterusnya memberikan ROI sebanyak 4.93 peratus.

Mengikut pecahan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada aset pelaburan, manakala ekuiti terdiri daripada 42 peratus.

Hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing membentuk tujuh peratus dan lima peratus daripada aset KWSP.

Sehingga Disember 2023, aset pelaburan KWSP mencecah RM1.14 trilion dengan 62 peratus daripadanya dilaburkan dalam pasaran domestik.

Bagi 2023, pelaburan domestik menjana RM31.71 bilion atau 47 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan, memberikan kestabilan kepada keseluruhan pendapatan pelaburan KWSP, sementara pelaburan asing menjana RM35.28 bilion atau 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang dicatatkan.

Pada 2023, KWSP kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM702.48 bilion pada Disember 2023 berbanding RM643.38 bilion pada 2022.

Pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023, dengan sehingga Disember 2023, KWSP memegang 28 peratus daripada lebihan terbitan MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia.

Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100 dan 31 peratus untuk saham FBMKLCI.

Penyertaan itu termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik, yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu.

Jumlah suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion, dengan suntikan itu adalah sebahagian daripada usaha diversifikasi jangka panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset.

"Penyertaan aktif dalam pasaran ekuiti domestik adalah penting dalam misi KWSP untuk mencipta nilai jangka panjang untuk ahli," katanya.

Berita Harian X